Oleh Zihan Zari
PENARIK – Seramai 31 pelajar semester akhir bersama tiga pensyarah Diploma Senibina, Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) telah menyertai Program Jejak Warisan “Terrapuri Heritage Village: An Architecture of a Lost Kingdom” yang berlangsung di Terrapuri Heritage Village, dekat sini dari 18 hingga 24 Julai lalu.
PSIS dalam kenyataan berkata, program berkenaan menjadi lebih istimewa apabila PSIS dipilih sebagai satu-satunya institusi pendidikan yang menerima jemputan khas daripada pemilik Terrapuri Heritage Village, Alex Lee bagi melaksanakan projek lukisan terukur di kawasan warisan eksklusif tersebut.
“Sepanjang tempoh program, para pelajar PSIS menjalankan kerja-kerja dokumentasi seni bina melibatkan empat buah rumah tradisional Melayu Terengganu yang mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tinggi, ”kata kenyataan itu.
Katanya, aktiviti yang dilaksanakan merangkumi proses pengukuran bangunan, dokumentasi seni bina, rakaman fotografi, lakaran terperinci serta penghasilan lukisan teknikal sebagai usaha merekod dan memelihara warisan seni bina Melayu untuk rujukan generasi akan datang.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori secara langsung di lapangan, sekali gus memperkukuhkan kemahiran profesional dalam bidang dokumentasi warisan.
“Selain meningkatkan kecekapan dalam penggunaan kaedah pengukuran yang sistematik, program ini turut memupuk nilai kerja berpasukan, komunikasi berkesan serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam situasi sebenar, ”katanya lagi.
Pada masa sama, inisiatif ini menyokong usaha pemuliharaan dan pendokumentasian warisan seni bina tradisional Malaysia melalui penyediaan rekod teknikal yang komprehensif untuk tujuan penyelidikan, pemuliharaan dan pendidikan.
Ujarnya, kolaborasi strategik antara PSIS dan Terrapuri Heritage Village turut membuktikan kepercayaan pihak industri terhadap kepakaran serta kompetensi warga Diploma Senibina PSIS dalam bidang lukisan terukur dan dokumentasi warisan.
“Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif strategik pada masa hadapan dalam usaha memelihara dan melestarikan khazanah seni bina warisan negara melalui pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), ”ujarnya lagi.
Tambahnya, PSIS adalah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
“Ia terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diploma dan 1 program Asasi Teknologi Kejuruteraan berdasarkan permintaan industri keperluan semasa, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV


