SEREMBAN — Barisan Nasional (BN) tidak berdepan sebarang krisis atau perebutan dalaman berhubung jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan walaupun gabungan itu memilih untuk tidak menamakan calon sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan tersebut dibuat kerana keutamaan parti ketika ini adalah mendapatkan mandat rakyat sebelum menentukan kepimpinan kerajaan negeri.
“Kita tidak ada kegusaran untuk menamakan poster boy ataupun calon Menteri Besar. Datuk Seri Presiden parti sendiri telah memaklumkan bahawa Barisan Nasional tidak kekurangan tokoh untuk ditampilkan sebagai pemimpin utama negeri. Yang penting sekarang ialah kita bergerak sebagai satu pasukan dan memperbaharui keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional.
“Barisan Nasional bukan parti yang menerajui kerajaan negeri ketika ini. Jadi, tidak ada keperluan untuk kita menamakan calon Menteri Besar lebih awal. Apabila tiba masanya dan rakyat memberi mandat, kepimpinan tertinggi parti akan membuat tapisan serta memilih tokoh yang paling sesuai untuk memimpin Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam program temu bual khas Mandat Negeri Sembilan terbitan Suara TV hari ini.
Menurut Jalaluddin, semua calon yang ditampilkan BN mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk memikul tanggungjawab sekiranya diberi peluang mentadbir negeri.
Katanya, fokus utama jentera BN kini ialah memastikan kemenangan di sebanyak mungkin kerusi sebelum memikirkan soal pembentukan kerajaan negeri.
“Kita ada 16 calon UMNO yang bertanding. Daripada jumlah itu, kita mempunyai ramai pemimpin yang berwibawa dan mempunyai kapasiti kepimpinan. Jangan risau, Barisan Nasional mempunyai barisan pemimpin yang mampu diterima rakyat untuk memimpin negeri ini.
“Bagi saya, apa yang lebih penting ialah kita mendapatkan mandat rakyat terlebih dahulu. Selepas itu barulah kepimpinan parti akan menentukan siapa yang paling sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar berdasarkan kemampuan dan keperluan negeri,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan ketika ini bukan kepada individu, sebaliknya memastikan manifesto dan tawaran BN sampai kepada pengundi supaya mereka dapat membuat pilihan terbaik pada hari pengundian nanti.



