Dedah RCI Tabung Haji, jangan sekat MP bahas di Dewan Rakyat – Radzi

SEREMBAN – Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin menggesa kerajaan supaya membuat pendedahan secara keseluruhan laporan asal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Naib Presiden Bersatu itu mengesyorkan kerajaan membentangkan perincian status pelaksanaan untuk setiap satu syor RCI termasuk pelan tindakan terhadap setiap syor RCI yang masih belum dilaksanakan.

“Kerajaan menjelaskan status tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan salah laku atau pelanggaran undang-undang.

“Speaker Dewan Rakyat memberikan peluang kepada semua Ahli Parlimen membahaskan dapatan dan syor RCI dan bukannya hanya terhad kepada beberapa orang Ahli Parlimen sahaja.

“(Selain itu) Speaker Dewan Rakyat memastikan menteri berkaitan memberi penjelasan kepada semua isu yang dibangkitkan dan membuka ruang soal jawab seluas-luasnya.

“Kerajaan (wajar) memberi komitmen untuk melaksanakan cadangan bersesuaian yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen bagi menambah baik kedudukan Tabung Haji,” katanya.

Radzi berkata demikian susulan mengambil maklum keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan RCI mengenai Tabung Haji dan membentangkannya dalam sidang khas Dewan Rakyat.

“Tabung Haji dibangunkan bertunjangkan aspirasi umat Islam yang ingin menyimpan wang secara patuh syariah bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji, iaitu rukun Islam kelima, dengan teratur dan tertib.

“Lebih daripada sembilan juta pendeposit telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Tabung Haji.

“Bagi sebahagian besar pendeposit, wang yang diamanahkan bukan sekadar simpanan biasa, tetapi hasil titik peluh yang dikumpulkan bertahun-tahun lamanya dengan niat untuk menyempurnakan tuntutan agama.

“Perkara berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan atau keputusan pelaburan Tabung Haji bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi dan pentadbiran, malah menyentuh soal amanah, integriti serta keyakinan umat Islam terhadap institusi tersebut,” kata pemimpin Bersatu itu lagi.

Radzi menegaskan, RCI mengenai Tabung Haji melibatkan kepentingan awam kerana menyentuh sebuah institusi strategik negara yang mempunyai kedudukan istimewa dalam kehidupan umat Islam.

“Sama-sama kita pastikan institusi yang menjadi amat dekat di hati umat Islam ini diurus dengan penuh amanah, telus dan berintegriti,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat