Setakat tunjuk MyKad tidak cukup buktikan kamu warganegara, bercakaplah Bahasa Melayu – Afnan

SIKAMAT – Kewarganegaraan seseorang individu itu bukan hanya bersandarkan sekeping kad pengenalan (MyKad) semata-mata.

Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Tain Azamudden menegaskan, taraf warganegara bukan cuma dinilai kepada MyKad sebaliknya ia perlu diterjemahkan kepada betapa cinta, sayang, dan kasihnya seseorang itu kepada tanah air dan Bahasa Melayu.

“Ada Menteri di Parlimen, cakap Melayu pun tunggang-langgang. Tuan-tuan tengok tak Menteri di Parlimen menjawab tu? “Ini saya tak boleh jawab ini, nanti saya bagi jawapan bertulis,” habis. Nak cakap tak boleh, bagi jawapan bertulis. Habis tak boleh cakap, “Ini ‘kongkalikong’.

“Jadi Menteri, jadi Timbalan Menteri, ni negara Malaysia, Tanah Melayu, bercakaplah Bahasa Melayu. Kalau kamu tak boleh bercakap Bahasa Melayu, kamu tak layak jadi pemimpin negara ini.

“Walaupun kamu bawa keluar IC, MyKad kata kamu orang negara Malaysia, tak hairanlah dengan MyKad tu. Warganegara bukan hanya duduk pada sekeping MyKad, tapi warganegara bermaksud dia cinta, dia sayang, dia kasih kepada tanah ini, bahasa ini. Dia bercakap dengan bahasa itu, dia raikan bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti.

“Kaum majoriti tak pernah dipinggirkan. Mana-mana negara di dunia ini, tuan-tuan tengok siapa jadi kerajaan di negara tersebut, kerajaan itu adalah kerajaan daripada kaum majoriti. Kenapa begitu? Itulah cara untuk pastikan kestabilan pentadbiran, pemerintahan negara tersebut. Apa jadi kalau kaum minoriti yang naik jadi kerajaan, yang majoriti ini terpinggir? Akan berlaku ketidakstabilan. Itulah yang sedang berlaku sekarang,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Sikamat malam tadi.

Untuk rekod, baru-baru ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming menegaskan tiada mana-mana kaum di negara ini boleh dilabel sebagai pendatang sambil mengangkat kad pengenalannya sebagai simbol bahawa semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mempunyai hak yang sama sebagai warganegara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, naratif yang mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia berdasarkan kaum hanya akan menghakis perpaduan yang dibina bersama sejak sekian lama.

“Ini kad pengenalan saya. Saya bukan pendatang. Kita semua adalah Anak Malaysia,” kata Kor Ming.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, keluarganya seperti jutaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India telah menetap di negara ini sejak turun-temurun dan memegang kad pengenalan Malaysia selama empat hingga lima generasi.

Sementara itu Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendakwa, melihat pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) terutamanya Pas dan Umno sepentas membuatkan Pakatan Harapan (PH) cemburu.

“Mereka tak boleh tengok orang Melayu, orang Islam dari dua parti terbesar ini duduk sepentas, mereka sangat cemburu.

“Mereka tak suka kita bercakap soal penyatuan. Mereka tak suka kita sebut tentang sejarah nenek moyang, perjuangan kita dulu. Mereka tak boleh terima kita bercakap tentang hak-hak orang Melayu. Padahal mereka setiap hari bercakap tentang hak mereka, ada kita persoal? Tak ada!

“Mereka setiap hari bercakap tentang asal usul mereka, kumpulan mereka, ada kita pertikai? Kita tidak pernah pertikai. Siapa pun berhak bercakap tentang hak kaum dia. Siapa pun berhak bercakap tentang agama yang dianutinya. Siapa pun berhak bercakap tentang tanah tumpah darahnya. Semua itu adalah kontrak sosial yang telah kita persetujui.

“Malam ini kita berceramah, bercakap bahasa Melayu, semua penceramah kita bercakap bahasa Melayu. Datuk Hattan menyanyi pun dalam bahasa Melayu. Tapi dia (pemimpin PH) berceramah bercakap dalam bahasa dia, kita faham tak? (Tak!) Kita tak faham.

“Dia berceramah panggil pengikut kumpulan-kumpulan bercakap dalam bahasa dia, kenapa kamu tak guna bahasa Melayu? Kenapa kamu boleh bercakap bahasa kamu, kita bercakap guna bahasa kita, tentang kita, penyatuan kita, tapi kamu marah? Kamu buat boleh, kita buat tak boleh, hei!

“Orang macam ini tuan-tuan nak biar jadi kerajaan Negeri Sembilan? Nak biar lagi tak? Apa perlu dibuat? Kita tumbangkan dia pada 1 Ogos nanti,” seru wakil rakyat Pas itu lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat