SEREMBAN – Fokus ucapan Datuk Seri Sanusi Md Nor adalah berkenaan kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu, bukannya kepada penafian kewarganegaraan kaum lain.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari tampil membuat pencerahan ucapan kontroversi Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Ucapan Sanusi yang katanya, mengandungi dua rujukan berasingan mengenai hubungan antara sesuatu bangsa dengan wilayah sejarahnya.
“Rujukan pertama ialah bahagian yang dijadikan tajuk Malaysiakini. Tidak lama kemudian, Sanusi mengulangi idea tersebut dalam konteks sejarah: “Allah buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India.”
“Beliau kemudian merujuk pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 bagi menggantikan Malayan Union dan menjadikan perkara itu sebagai asas kepada hujah bahawa Tanah Melayu mempunyai sejarah serta identiti terasnya sendiri.
“Lebih penting, sebelum rujukan kedua itu, Sanusi turut menyebut: “Ramai Melayu yang bertoleransi, boleh hidup bersama bangsa berbilang kaum, aman harmoni.”
“Beliau memberikan contoh peniaga Cina yang membuka kedai dan berniaga dalam kampung Melayu tanpa diganggu serta menegaskan: “Kita tak kacau orang.”
“Bahagian ini penting kerana ia menunjukkan bahawa Sanusi tidak pernah menunjukkan sikap anti Cina atau India apatah lagi mahukan rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan Malaysia.
“Dengan tidak memasukkan bahagian toleransi tersebut serta rujukan kedua yang lebih jelas menghubungkan hujahnya dengan sejarah Persekutuan Tanah Melayu, laporan berkenaan meninggalkan ruang besar untuk pembaca mentafsirkan bahawa “Cina ada China” bermaksud rakyat Malaysia berketurunan Cina sepatutnya menganggap China sebagai tanah air mereka.
Inilah perbezaan antara petikan yang tepat dengan gambaran yang lengkap.
“Sesuatu petikan boleh jadi masih benar secara literal tetapi ia juga boleh menghasilkan satu persepsi yang mengelirukan apabila ayat sebelum dan selepasnya tidak disertakan,” tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam kenyataan media pada Isnin.
Tegas Fadhli, sesuatu petikan yang benar tidak semestinya menghasilkan gambaran yang lengkap ke atas sesuatu ucapan.
“Rakaman penuh ucapan Sanusi menunjukkan bahawa beliau meletakkan kenyataan tersebut dalam perbincangan tentang sejarah Tanah Melayu, kuasa politik dan ekonomi Melayu serta keperluan Pas dan Umno bekerjasama.
“Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu mampu hidup aman bersama masyarakat berbilang kaum dan tidak mengganggu peniaga Cina dalam komuniti Melayu.
“Kesalahan Malaysiakini dalam laporannya pula terletak pada pemilihan tajuk, tafsiran editorial dan kegagalan memasukkan konteks yang dapat membezakan antara tuntutan identiti sejarah Melayu dengan dakwaan bahawa rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India tidak memiliki Malaysia.
“Penyelesaian yang baik ke atas isu ini boleh dibuat melalui tiga tindakan, iaitu Malaysiakini menjelaskan konteks laporan, Sanusi menerangkan maksudnya secara terus dan semua pihak menilai rakaman penuh sebelum membuat tuduhan.
“Kebebasan media perlu dipertahankan, tetapi kebebasan itu mesti disertai dengan ketepatan, konteks dan akauntabiliti.
“Begitu juga kebebasan berpolitik mesti disertai dengan kecermatan di dalam bertutur kata.
“Dalam masyarakat majmuk, satu tajuk yang tidak seimbang dan satu ungkapan yang kurang cermat sama-sama boleh mencetuskan salah faham,” ujar beliau.


