Islah Wahyudi jadi calon Bebas demi perjuang tukar nama ‘Port Dickson’ yang diberikan penjajah

SEREMBAN – Calon Bebas yang merebut kerusi DUN Sri Tanjung Islah Wahyudi Zainudin menyatakan, platform Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini sebagai satu jambatan untuk beliau melancarkan petisyen bagi menukar nama Port Dickson.

Islah Wahyudi menegaskan, Port Dickson ialah nama penjajah dan sebab itu beliau mahu isu ini dibawa kepada mereka yang benar-benar mempunyai kuasa untuk mempertimbangkannya.

“Saya mahu mengemukakan fakta dan dapatan yang saya peroleh supaya masyarakat boleh menilai sendiri. Selepas itu, perkara ini perlu menjadi perhatian mereka yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab, termasuk Datuk Undang Sungai Ujong, Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Pada asalnya saya bercadang bertanding di Lukut kerana saya sendiri mengundi di Lukut. Tetapi akhirnya saya bertanding di Seri Tanjung. Sebagai calon Bebas yang tidak mempunyai jentera besar seperti parti politik, saya perlu menggunakan strategi yang berbeza untuk membawa mesej saya kepada pengundi.

“Saya tidak mempunyai ratusan petugas seperti parti-parti besar. Jadi apa yang saya lakukan perlu benar-benar memberikan impak dan terus membawa perhatian kepada isu yang saya perjuangkan.

“Walaupun ada sekatan dan halangan, saya akan teruskan. Kalau ditakdirkan Allah saya hidup sehingga umur 80 tahun, setiap kali bulan kemerdekaan orang masih akan melihat saya bertanya:
“Bila nak tukar nama Port Dickson?” demikian ikrar Islah Wahyudi.

Menurut calon bebas itu lagi, apa yang beliau tekankan ialah Bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan dan perkara itu perlu dihormati.

“Pada masa yang sama, saya mahu Stesen Kereta Api Port Dickson diselamatkan dan disenaraikan di bawah Akta Warisan Kebangsaan. Stesen itu mempunyai nilai sejarah kepada masyarakat Port Dickson. Sejarah perlu disimpan supaya generasi akan datang mengetahui apa yang pernah berlaku dan memahami identiti mereka sendiri.

“Saya bertanding di peringkat DUN. Jadi saya tidak boleh menjanjikan perkara di luar bidang kuasa saya seperti mengatakan apabila menang saya akan meminda Perlembagaan.

“Bagi saya, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada sudah memadai. Masalah terbesar ialah penguatkuasaan. Contohnya, pihak berkuasa tempatan mempunyai peraturan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda. Kalau peraturan itu sudah ada, maka ia perlu dikuatkuasakan dengan betul.

“Saya tidak mengatakan masyarakat lain tidak boleh melestarikan bahasa dan budaya masing-masing. Tetapi dalam kita melestarikan budaya masing-masing, identiti negara juga perlu dihormati.

“Kita mempunyai bendera negara, institusi Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Itulah antara perkara yang saya mahu pertahankan,” katanya dalam Wawancara Mandat @SuaraTV sempena PRN Negeri Sembilan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat