KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) dan penyandang DUN Pilah Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim akan berusaha mencipta peluang pekerjaan kepada Generasi- Z (Gen Z) di kawasannya sekiranya diberi mandat sekali lagi.
Menurut Noorzunita, beliau mahu merancakkan peluang pekerjaan kepada Gen Z agar golongan muda itu tidak perlu berhijrah keluar meninggalkan Kuala Pilah.
“Kalau menang diberi mandat sekali lagi, saya akan bawa suara rakyat itu yang penting. Di Kuala Pilah ini suara rakyat, isu-isu rakyat yang saya tekankan.
“Pertamanya golongan Gen Z, pendidikan dan warga emas. Sebab kita di Kuala Pilah ini ada pekan dan ada kawasan kampung tradisi yang perlu kita jaga.
“Di situlah akan kita selarikan kehidupan di pekan, bandar dan kampung tradisi,” katanya ketika ditemui media selepas program walkabout di Pekan Kuala Pilah pada Sabtu.
Ditanya mengapa rakyat Pilah perlu memberi peluang sekali lagi kepadanya dan PH, Noorzunita berkata, ini demi menstabilkan ekonomi dan politik.
“Pakatan Harapanlah menjadi contoh yang terbaik untuk membantu rakyat.
“Kitalah membawa suara rakyat. Jadi pelbagai inisiatif sepanjang 8 tahun pemerintahan di bawah Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) iaitu kepimpinan Pakatan Harapan telah terbukti.
“Suara-suara rakyat itu diangkat dan dijadikan inisiatif dan kembali kepada rakyat,” katanya lagi.
Menurut bekas Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan itu lagi Kuala Pilah sudah cukup maju berkat limpahan ekonomi dari Seremban dan kawasan sekitar.
“Pilah dah cukup maju. Apa-apa yang limpahan daripada negeri terutamanya dari Seremban dan dari daerah-daerah sekeliling, dapat juga di Kuala Pilah.
“Oleh itu kita cuma nak tingkatkan dari segi peluang pekerjaan kepada anak muda.
“Itu yang suara-suara anak muda yang saya dengarlah selama saya berkhidmat di sini. Peluang pekerjaan kepada anak muda dari segi bidang yang profesional lah di sini.
“Mungkin kita cari peluang membawa masuk pelabur. InsyaAllah.
“Kita harap dapat buka ruang anak muda menjana ekonomi sekali gus tidak berhijrah jauh dari Kuala Pilah,” ikrar beliau.


