BERSATU Lancar Tawaran ‘Demi Nismilan’, Kemuka 76 Inisiatif Berteraskan 9 Tunjang

NILAI — Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini melancarkan ‘Tawaran BERSATU Demi Nismilan’ yang menggariskan sembilan tunjang utama serta 76 tawaran kepada rakyat sekiranya parti itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya setiap inisiatif yang dirangka meliputi semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak, pelajar, anak muda, usahawan dan wanita hinggalah kepada warga emas, dengan prinsip bahawa tiada seorang pun akan dipinggirkan atau ‘No one is left behind’.

Pelancaran manifesto tersebut berlangsung di Bilik Gerakan BERSATU Nilai, dengan menampilkan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada tadbir urus, ekonomi, pendidikan, kebajikan rakyat, pembangunan belia, wanita, FELDA serta kesejahteraan menyeluruh bagi Negeri Sembilan.

“Tawaran ini bukan sekadar manifesto pilihan raya, tetapi komitmen BERSATU untuk membina Negeri Sembilan yang lebih maju, berintegriti dan sejahtera melalui sembilan tunjang utama yang merangkumi 76 tawaran demi kesejahteraan seluruh rakyat.

“Sekiranya rakyat memberi mandat kepada BERSATU, kami akan memastikan setiap tawaran dipantau pelaksanaannya agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik,” katanya.

Muhyiddin berkata, menerusi tunjang pertama Kita Jago Tadbir Urus Nismilan, BERSATU beriltizam memperkukuh pentadbiran negeri melalui penubuhan Jawatankuasa Khas yang dianggotai golongan profesional bagi memantau pelaksanaan setiap tawaran manifesto.

Beliau turut mengumumkan komitmen menggubal undang-undang supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik, selain memperkukuh institusi adat melalui penambahbaikan elaun dan peruntukan pengurusan kepada ketua-ketua adat.

“Pentadbiran yang bersih dan berintegriti adalah asas kepada kemajuan negeri. Sebab itu kita mahu setiap janji dipantau secara profesional dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti.

“BERSATU percaya rakyat berhak mendapat layanan yang adil. Peruntukan kepada ADUN tidak sepatutnya dipengaruhi oleh perbezaan politik, sebaliknya mesti berasaskan kepentingan rakyat,”jelasnya.

Dalam aspek ekonomi, Muhyiddin berkata BERSATU menyasarkan pewujudan 50,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun melalui pembangunan Koridor Industri Halal Negeri Sembilan, Koridor Logistik serta industri masa hadapan seperti tenaga hijau, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, BERSATU turut mencadangkan Dana Nismilan Niaga Prihatin bernilai RM5 juta bagi menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain pengecualian sewa kepada penjaja berdaftar serta diskaun sewa premis milik pihak berkuasa tempatan.

“Negeri Sembilan mempunyai potensi besar menjadi hab ekonomi baharu. Kita mahu membuka lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi supaya anak-anak muda tidak lagi berhijrah mencari rezeki di negeri lain.

“Peniaga kecil adalah tulang belakang ekonomi rakyat. Sebab itu kita tawarkan bantuan pembiayaan, latihan digital serta pengecualian sewa bagi mengurangkan beban kos mereka,”katanya.

Manifesto tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan sektor pelancongan, pertanian, pendidikan dan pembangunan modal insan termasuk menjadikan Kolej Yayasan Negeri Sembilan sebagai institusi TVET bertaraf antarabangsa, mewujudkan tabung pendidikan serta pelbagai bantuan kepada pelajar dan keluarga yang memerlukan.

Bagi golongan belia pula, BERSATU mencadangkan penubuhan Hab Digital Nogori, skim bantuan kepada pekerja ekonomi gig, pembangunan syarikat pemula (startup), latihan juruterbang dron serta insentif kepada pasangan pengantin baharu menerusi Inisiatif Raikan Cinta Nismilan.

“Pelaburan terbaik sesebuah negeri ialah pelaburan terhadap pendidikan dan anak muda. Mereka adalah pemimpin masa depan yang perlu diberikan peluang, kemahiran dan sokongan secukupnya.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan teknologi, tenaga mahir dan anak muda yang mampu bersaing dalam ekonomi digital serta industri masa hadapan,” katanya.

Muhyiddin berkata, BERSATU juga menawarkan pelbagai inisiatif khusus kepada wanita, warga FELDA, pesakit penyakit kritikal, warga emas, Orang Asli serta golongan memerlukan melalui bantuan kewangan, perlindungan sosial dan pembangunan komuniti.

Beliau berkata, manifesto itu turut merangkumi pembinaan rumah mampu milik menerusi Dana Rumah Rakyat NS, penambahbaikan sistem pengurusan sisa pepejal, mitigasi banjir, penaiktarafan bekalan air, peluasan internet berkelajuan tinggi serta usaha mengembalikan kegemilangan sukan Negeri Sembilan.

“Matlamat terbesar kami ialah memastikan setiap lapisan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik melalui dasar yang benar-benar menyentuh keperluan harian mereka.

“BERSATU menawarkan sebuah pelan pembangunan yang menyeluruh, bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi tetapi juga kesejahteraan sosial, kebajikan rakyat dan masa depan Negeri Sembilan,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat