KUALA PILAH – Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz optimis Pakatan Harapan (PH) akan diberi mandat sepenggal lagi di DUN Pilah.
Beliau yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri menegaskan walaupun ada persefahaman politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) namun, calon dan penyandang DUN Pilah Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim sudah melakukan banyak perubahan di Kuala Pilah pada penggal sebelum ini.
“Di DUN Pilah saya agak optimistik walaupun wujudnya kerjasama antara PN-BN namun PH di sini terutamanya penyandang, calon kita banyak buat kerja di sini.
“Saya rasa rakyat sendiri akan menilai apa yang telah dibuat selama YB Datuk Noorzunita ketika menjadi Adun di sini.
“Kita teruskan sedikit lagi melihat kepada pelaburan dan juga penciptaan peluang pekerjaan.
“Jadi banyak juga yang melihat fokus sebelum ini banyak kepada Malaysia Vision Valley (MVV) dan sebagainya.
“Tapi di kawasan ini (Pilah) mungkin kuranglah sedikit perhatiannya,” katanya ketika ditemui media selepas program walkabout di Pekan Kuala Pilah pada Sabtu.
Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, dalam konteks Negeri Sembilan beliau akan berusaha menyuntik pelaburan yang sekali gus mencipta peluang pekerjaan.
“Salah satu isu ialah isu pekerjaan yang terutamanya di golongan anak muda kita.
“Di kawasan-kawasan seperti di Kuala Pilah ini yang mungkin limpahanya tak dapat secara langsung namun lebih kepada manfaat secara tidak langsung. Kita akan pastikan perkara itu.
“Saya di MIDA memang banyak bincang berkenaan isu-isu wilayah yang ada gap (jurang) di antara pembangunan ekonomi.
“Jadi kita kena teruskan dan kita dapat lihat di Negeri Sembilan ini memang cuba untuk meluaskan lagi MVV 1 dengan mengusahakan pertumbuhan yang lebih sama rata,” jelas Tengku Zafrul.


