KUALA LUMPUR – Selepas mencipta kejayaan dalam segmen e-dagang penstriman langsung (live commerce) berbahasa Cina, syarikat teknologi dan e-dagang tempatan, JAM kini membuka langkah terbaru menerusi pelancaran JAM Bahasa sebagai strategi untuk memasuki pasaran Melayu yang dilihat mempunyai potensi besar. Langkah itu bukan sekadar memperluaskan kelompok pengguna syarikat, malah menjadi persediaan awal sebelum JAM membawa model perniagaannya ke pasaran Asia Tenggara bermula tahun depan.
Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, keputusan memasuki pasaran Melayu dibuat selepas syarikat berjaya membuktikan keberkesanan model perniagaan yang dibangunkan dalam komuniti berbahasa Cina. Menurutnya, pasaran Melayu merupakan komuniti pengguna terbesar di Malaysia, namun segmen live commerce premium masih mempunyai ruang yang luas untuk diterokai.

Beliau berkata, kejayaan membawa model yang sama kepada komuniti pengguna yang berbeza akan menjadi bukti bahawa pendekatan yang dibangunkan oleh JAM mampu berkembang ke negara-negara lain di rantau ini. Baginya, kekuatan syarikat bukan sekadar pada teknologi atau platform, tetapi bagaimana model tersebut disesuaikan dengan budaya, bahasa dan tingkah laku pengguna tempatan.
Sebagai sebahagian daripada strategi itu, JAM turut mengumumkan penyertaan pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari sebagai pengasas bersama syarikat. Berbeza dengan kebanyakan kerjasama yang hanya melibatkan pelantikan sebagai duta jenama, kedua-duanya akan turut terlibat dalam pembangunan hala tuju syarikat serta pembangunan bakat dalam industri live commerce.
Awal berkata, pada peringkat awal beliau dan Scha hanya ditawarkan untuk menjadi hos penstriman langsung. Namun selepas beberapa siri perbincangan, mereka melihat peluang yang lebih besar untuk membina sebuah platform yang bukan sahaja menjual produk, malah melahirkan lebih ramai hos profesional dan membantu jenama membangunkan perniagaan melalui live commerce.

“Pada mulanya kami hanya ditawarkan menjadi live host, tetapi selepas berbincang kami sedar apa yang boleh kami sumbangkan lebih besar daripada itu. Kami mahu sama-sama membina platform ini, melahirkan lebih ramai hos live dan membantu mengembangkan perniagaan, bukan sekadar muncul di hadapan kamera,” katanya.
Menurut Awal, penyertaannya dalam JAM bukan kerana mahu menambah satu lagi kerjasama komersial, tetapi kerana percaya industri live commerce mempunyai masa depan yang cerah jika dibina berasaskan kepercayaan pengguna. Katanya, beliau dan Scha hanya akan mempromosikan produk yang benar-benar digunakan dan diyakini kerana reputasi yang dibina selama lebih dua dekad dalam industri tidak boleh dipertaruhkan hanya demi keuntungan jangka pendek.
“Kalau kami sendiri tidak percaya kepada sesuatu produk, macam mana kami mahu meyakinkan pengguna? Kepercayaan itu lebih penting daripada apa sahaja,” katanya.
Pendekatan tersebut turut menjadi asas kepada model perniagaan JAM yang lebih menumpukan kepada prestasi jualan berbanding sekadar menawarkan perkhidmatan promosi. Berbeza dengan agensi pempengaruh tradisional, syarikat memperoleh pendapatan melalui komisen jualan, yuran slot dan insentif daripada platform digital yang bergantung kepada prestasi sebenar setiap sesi penstriman langsung. Ini bermakna kejayaan syarikat berkait rapat dengan kejayaan jenama yang menggunakan perkhidmatannya.
Sejak ditubuhkan pada April 2024, JAM menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan tiga kali ganda pada tahun kedua operasinya. Bermula dengan menguruskan beberapa pempengaruh di Instagram, syarikat itu kini berkembang menjadi rangkaian multi-saluran (MCN) yang beroperasi di TikTok, Shopee, Lazada dan Instagram. Dalam tempoh tersebut, JAM berjaya merekodkan Nilai Barangan Kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta pada tahun pertama operasi, hasil peningkatan jumlah sesi penstriman langsung, mutu produksi yang semakin baik dan kadar penukaran jualan yang lebih tinggi.
Pada masa ini, JAM menguruskan kira-kira 10 orang pempengaruh dengan sokongan 20 kakitangan sepenuh masa yang mengendalikan pengurusan bakat, produksi kandungan serta penyelesaian e-dagang untuk pelbagai jenama. Bagi menampung pertumbuhan tersebut, syarikat turut membuka studio penstriman langsung terbaru seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi 13 bilik produksi lengkap. Studio itu membolehkan keseluruhan operasi live commerce pelanggan diuruskan di bawah satu bumbung, bermula daripada perancangan kandungan, penulisan skrip, latihan hos, produksi sehingga kepada pengurusan jualan secara masa nyata.

Pengasas bersama JAM, Jane Lau atau Jane Chuck pula berkata, industri live commerce di Malaysia kini sedang bergerak ke arah fasa yang lebih matang. Menurutnya, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, pasaran akan mula membezakan syarikat yang hanya mengejar jumlah tontonan dengan syarikat yang benar-benar memberi tumpuan kepada kandungan berkualiti serta penukaran jualan yang tinggi.
Beliau berkata, faktor paling penting dalam memastikan industri ini terus berkembang ialah kepercayaan pengguna. Jika sesi penstriman langsung hanya dipenuhi jualan secara agresif tanpa kandungan yang berkualiti, pengguna akan mula hilang keyakinan dan keadaan itu boleh memberi kesan kepada keseluruhan industri.
Melangkah ke hadapan, JAM merancang untuk memasuki pasaran Thailand pada suku pertama 2027 sebelum mengembangkan operasi ke beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Syarikat yakin pengalaman menyesuaikan model perniagaan daripada pasaran berbahasa Cina kepada pasaran Melayu menjadi bukti bahawa pendekatan tersebut boleh diterapkan di pasaran serantau dengan mengambil kira budaya dan keperluan pengguna tempatan.
Dengan pelancaran JAM Bahasa, penyertaan Scha Alyahya dan Awal Ashaari sebagai pengasas bersama, pembukaan studio produksi terbaru serta sasaran untuk berkembang ke luar negara, JAM kini sedang meletakkan asas bagi muncul sebagai antara syarikat live commerce premium yang mampu bersaing bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat Asia Tenggara.



