Anwar akan dedah laporan RCI Tabung Haji mungkin hari ini atau Rabu depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia untuk mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan merujuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sama ada sedia untuk mendedahkan laporan itu hari ini atau selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan.

“Saya akan teliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada proses ini harus dirujuk ke Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Kalau perlu, saya tunggu Rabu (depan selepas mesyuarat Kabinet) kerana rakyat harus tahu,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, lapor BH pada Khamis.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad.

Zulkifli ketika menjawab soalan di Dewan Negara semalam memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Beliau berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.

Katanya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, TH masih dalam proses pemulihan dan pasukan diketuai Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain sedang melaksana segala syor dan teguran RCI.

“Kita letak Tan Sri Rashid dan pasukan baharu untuk membersihkan (TH) berdasarkan pandangan, teguran laporan suruhanjaya dan kalau kita lakukan (dedahkan laporan) terlalu awal mungkin boleh menimbulkan keresahan daripada pencarum dan penyimpan.

“Sekarang saya rasa TH sudah bertambah baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan, sebab laporan ini ada hak rakyat untuk mengetahui,” katanya menurut akhbar itu lagi.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru dalam mendedahkan laporan itu, bagi memberi tumpuan kepada usaha pemulihan berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat