SEREMBAN – Jika benar matlamatnya ialah penyatuan ummah mengapa Pas meminggirkan Bersatu sebaliknya memilih bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sedangkan jika berbicara soal penyatuan ummah Bersatu ialah sebuah parti Melayu Islam yang besar di negara ini namun mengapa diketepikan?
“Pada pandangan saya, Pas perlu berlaku jujur dalam menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Sepanjang proses menghadapi pilihan raya, Bersatu tidak dilibatkan dalam banyak rundingan penting.
“Persiapan juga dibuat terlalu lewat sehingga menyukarkan kami membuat perancangan dan persediaan yang lebih tersusun. Selain itu, kami juga melihat berlakunya rundingan di luar platform rasmi Perikatan Nasional (PN) tanpa dimaklumkan kepada Bersatu.
“Pada masa yang sama, naratif bahawa semua tindakan tersebut dibuat atas nama penyatuan ummah juga menimbulkan persoalan.
“Bersatu ialah sebuah parti Melayu Islam yang besar di negara ini. Jika benar matlamatnya ialah penyatuan ummah, saya tidak melihat mengapa Bersatu diketepikan daripada proses tersebut.
“Setakat hari ini, Bersatu masih merupakan anggota PN. Namun hakikatnya, hubungan dengan Bersatu telah diputuskan oleh Pas, menyebabkan keadaan dalam PN menjadi agak janggal.
“Saya berpandangan PN perlu membuat keputusan yang jelas mengenai hala tuju gabungan itu selepas pilihan raya ini,” katanya dalam Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pada masa yang sama, Tun Faisal berkata, Bersatu tidak boleh terus menunggu sedangkan kami melihat keadaan dalam PN semakin tidak menentu dan semakin bercelaru.
“Sebelum ini, kami menolak kerjasama dengan BN kerana faktor integriti serta pendirian terhadap isu-isu yang melibatkan kepimpinan parti tersebut.
“Kini Pas pula memilih bekerjasama dengan BN.
“Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip sebenar PN dan kedudukannya sebagai gabungan pembangkang.
“Bagi saya, perkara-perkara ini perlu diperjelaskan supaya rakyat memahami pendirian sebenar setiap parti dalam gabungan tersebut,” ujar calon Bersatu DUN Sikamat itu lagi.



