MELAKA – Festival Sungai Melaka (FSM) 2026 terus melakar sejarah apabila berjaya mencipta dua lagi rekod dalam Malaysia Book of Records menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria dan replika konda-kondi terbesar, sekali gus memperkukuh usaha memartabatkan warisan budaya dan pelancongan negeri.
Rekod pertama dicapai menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria, melepasi sasaran awal sebanyak 10,000 biji, sekali gus mencipta rekod baharu kategori Most Kuih Keria Produced in One Event.
Program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Bahagian Promosi Pelancongan (Tourism Melaka), institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat.
Lebih menarik, sebaik sahaja pengiktirafan Malaysia Book of Records diumumkan, ribuan kuih keria yang dihasilkan diagihkan kepada pengunjung di Dataran Pengkalan Rama sebagai simbolik perkongsian kejayaan bersama masyarakat.
Festival itu turut mencatat satu lagi rekod menerusi kategori Largest Konda-Kondi Replica, yang direalisasikan oleh NUHEA Sdn. Bhd. selaku penaja utama Pertandingan Konda-Kondi.
Inisiatif tersebut bertujuan menghidupkan semula permainan tradisional Melayu selain memperkenalkannya kepada generasi muda serta pelancong tempatan dan antarabangsa.
Menurut penganjur, penghasilan replika berkenaan turut menjadi penghargaan terhadap usaha Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengangkat semula permainan tradisional konda-kondi sebagai sebahagian daripada warisan budaya negeri.
Kedua-dua pengiktirafan itu menjadi antara acara kemuncak Festival Sungai Melaka 2026 yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan, kebudayaan dan pelancongan.
Buat julung kalinya, festival berkenaan dianjurkan selama empat bulan melibatkan tiga daerah di Melaka dengan membawa tema “Melaka Sayang Rakyat (MESRA)”.
Penganjuran berskala besar itu mengetengahkan pelbagai program berasaskan warisan, kebudayaan, pelancongan, sukan, komuniti dan kekeluargaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat festival di seluruh negeri.
Dalam masa sama, kejayaan terbaharu itu menjadikan Melaka kini memiliki lima pengiktirafan Malaysia Book of Records sepanjang tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Lima rekod tersebut ialah Largest Digital Hits for Malaysia Tourism on WeChat Platform Using Celebrity Ambassador menerusi pelantikan pelakon antarabangsa Fan Bingbing sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024, Most Onde-Onde (Kuih Buah Melaka) Produced in One Event sempena Festival Sungai Melaka 2025, First State to Organise Konda-Kondi Tournament sempena World Tourism Day (WTD) 2025 dan World Tourism Conference (WTC) 2025, serta dua rekod baharu tahun ini iaitu Most Kuih Keria Produced in One Event dan Largest Konda-Kondi Replica.
Kerajaan Negeri Melaka berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh sektor pelancongan berasaskan warisan, budaya dan komuniti, di samping memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.


