PUTRAJAYA – Seramai kira-kira lebih 100 orang wakil dari Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Kewangan di sini, hari ini untuk menghantar memorandum meminta kerajaan menyelesaikan masalah berkaitan bayaran insurans yang dihadapi pemandu e-hailing.
Presiden TPAD Nathan Mathivanan berkata sejak 2019 para pemandu e-hailing dikehendaki membayar insurans khas e-hailing secara tahunan atau harian tetapi kos pada masa itu mampu ditanggung tetapi kali ini kadar bayaran insurans meningkat dengan begitu tinggi menyebabkan pemandu e-hailing tertekan untuk menampung kos berkenaan.
Turut sama hadir memberikan sokongan ialah Pengerusi Bersekutu Sekratariat Gabungan Suara Rakyat (GASURA) dan bakal calon Parlimen Selayang Datuk Seri Raj Manickam.
Menurut beliau lagi, tahun lepas ada syarikat insurans yang sudah memansuhkan produk insurans harian e-hailing dan mengekalkan insurans tahunan untuk polisi baharu pemandu yang menyebabkan pemandu tidak boleh memandu untuk platform e-hailing yang lain.
“Pemandu e-hailing yang memandu secara sambilan tidak lagi mempunyai pilihan dan fleksibel untuk berubah memandu untuk platform lain sebaliknya umpama dipaksa kekal dengan satu-satu platform dengan kos yang tinggi,” katanya.
Nathan berkata untuk tahun ini, pemandu e-hailing kena bayar premium naik berganda sehingga 150 peratus mencecah RM1,700 hingga RM2,000 berbanding hanya sekitar RM600 sebelum ini.
Beliau berkata ketika ini syarikat penyedia e-hailing sedang mengambil kesempatan ke atas pemandu-pemandu dengan kos-kos bayaran yang tinggi berbanding bayaran tambang dan ganjaran yang rendah.
“Bayaran insurans ini mesti dibuka untuk semua platform, Bank Negara di bawah Kementerian Kewangan perlu melihat isu ini dan selesaikan segera, jangan cuba bermain politik, anda semua penggubal dasar dan polisi.
“Apabila buat sesuatu polisi, kita harap kerajaan menjemput persatuan yang ada di lapangan untuk mengetahui masalah sebenar dan apa yang harus dilakukan untuk kepentingan pemandu e-hailing,” katanya kepada media hari ini, di sini.
Dalam memorandum berkenaan, turut dipanjangkan ialah isu kuota Budi petrol RON95 milik pemandu e-hailing yang tidak boleh digunakan secara bebas oleh mereka sebaliknya ia dicampur sekali dengan kuota tambahan sebagai pemandu e-hailing.
“Mereka mesti habiskan dulu kuota 200 liter untuk bulan berkenaan untuk mendapat akses kepada kuota tambahan sehingga 800 liter dan ini adalah satu perkara yang tidak adil kerana kuota 200 liter ada hak rakyat Malaysia yang ada lesen memandu,” katanya.
Nathan berkata lebih menekan pemandu e-hailing perlu memandu lebih 2,000 kilometer sebulan untuk menikmati kuota tambahan, jika gagal pemandu hanya boleh menggunakan kuota sedia ada 200 liter.
“Jika dapat penumpang dan memandu 2,000 hingga 5,000 kilometer sebulan, pemandu boleh mohon kuota tambahan 600 liter, jika lebih 5,000 kilometer akan dapat kuota penuh 800 liter sebulan,” katanya.
Syarikat e-hailing tidak ada hak untuk mengawal kuota peribadi Budi RON95 kerana itu sudah diperuntukkan sebagai subsidi rakyat Malaysia untuk digunakan untuk tujuan peribadi.
“Jika ada pemandu bercuti atau kurang memandu pada bulan sebelumnya bawah 2,000 kilometer, kuota tambahan akan dipotong automatik pada bulan depan dan terpaksa bergantung dengan hanya 200 liter sahaja,” katanya.
Memorandum diserahkan kepada Kementerian Kewangan menuntut tindakan penyelesaian oleh kerajaan memberikan perhatian kepada perbuatan syarikat e-hailing dan mengurangkan beban yang ditangggung pemandu yang semakin memberi tekanan.



