Kalau selama ini pertandingan memasak sering dikaitkan dengan chef selebriti atau rancangan televisyen, tahun ini suasananya sedikit berbeza. Dunia kulinari Jepun di Malaysia bakal menyaksikan kemunculan satu platform baharu yang memberi tumpuan kepada golongan yang jarang mendapat perhatian umum cef sushi muda yang menghabiskan bertahun-tahun mengasah kemahiran di sebalik kaunter restoran.
Menerusi penganjuran sulung Pop Wasabi Awards 2026, enam cef daripada restoran Jepun terpilih akan berentap dalam Grand Finale pada 22 Oktober ini di Kuala Lumpur. Namun jika dilihat lebih mendalam, pertandingan ini bukan sekadar mencari siapa paling pantas memotong ikan atau paling cantik membentuk nigiri.
Sebaliknya, ia membawa mesej bahawa dunia sushi sebenarnya adalah satu seni yang memerlukan disiplin, kesabaran dan penghormatan terhadap tradisi.

Ramai pelanggan hanya melihat hidangan sushi yang siap dihidangkan dalam beberapa minit. Hakikatnya, di sebalik setiap potongan ikan dan setiap genggaman nasi, terdapat latihan yang mengambil masa bertahun-tahun. Ada cef yang memulakan kerjaya dengan mencuci pinggan, menyediakan beras atau membersihkan dapur sebelum diberi peluang menyentuh pisau.
Budaya latihan seperti inilah yang ingin diketengahkan menerusi Pop Wasabi Awards.
Pertandingan tersebut membuka ruang kepada cef muda membuktikan bahawa mereka bukan sekadar bekerja di dapur, tetapi mempunyai kemahiran yang setanding dengan standard antarabangsa.
Ketua Pegawai Operasi Sendo Ichi Seafoods Sdn. Bhd., Aldred Yaw, berkata usaha itu lahir daripada keinginan untuk melihat lebih ramai bakat tempatan berkembang dalam bidang masakan Jepun.
Menurut beliau, industri memerlukan lebih banyak platform yang mampu mengiktiraf bakat muda dan pada masa sama meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap gastronomi Jepun yang asli.
Apa yang menarik, pertandingan ini turut menekankan kepentingan bahan mentah berkualiti. Dalam dunia sushi, cef yang hebat sahaja tidak mencukupi jika bahan digunakan tidak memenuhi standard.
Atas sebab itu, Sendo Ichi terus membawa masuk makanan laut premium terus dari Jepun, termasuk dari Hokkaido, Fukuoka dan Pasar Ikan Toyosu di Tokyo yang terkenal sebagai antara pusat perdagangan makanan laut terbesar dunia.
Bagi pencinta sushi, perkara ini mungkin kedengaran biasa. Namun bagi cef, kualiti ikan mampu menentukan keseluruhan pengalaman menikmati sesuatu hidangan.
Seekor tuna daripada perairan berbeza misalnya mempunyai tekstur, kandungan lemak dan rasa yang tidak sama. Begitu juga dengan uni, hamachi atau hotate yang memerlukan cara penyediaan tersendiri bagi menyerlahkan rasa asalnya.
Selain kemahiran peserta, pertandingan ini turut mendapat suntikan kredibiliti menerusi pelantikan Sam Saito dari Sushi Hibiki sebagai Ketua Juri.
Beliau bukan nama asing dalam dunia kulinari Jepun. Sebagai Duta Muhibah Masakan Jepun yang dilantik oleh Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF), pengalaman beliau dijangka memastikan setiap peserta dinilai berdasarkan standard sebenar seni penyediaan sushi.

Menariknya, Pop Wasabi Awards juga bukan sekadar acara pertandingan sehari. Penganjur merancang menjadikannya sebagai acara tahunan yang mampu menghubungkan komuniti cef, pembekal, restoran dan pencinta makanan Jepun di Malaysia.
Ini sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk dikenali, sama ada oleh pemain industri mahupun pelanggan yang menghargai hasil kerja mereka.
Dalam era media sosial hari ini, ramai mengenali sesuatu restoran kerana gambar makanan yang cantik. Namun pertandingan seperti ini mengingatkan kita bahawa individu di belakang kaunter adalah “artis” sebenar yang menghasilkan setiap hidangan dengan ketelitian tinggi.
Daripada cara memegang pisau, memilih bahagian ikan terbaik hinggalah memastikan suhu nasi sesuai ketika dihidangkan, setiap perincian memainkan peranan penting dalam menghasilkan sushi yang sempurna.
Dengan sokongan pemain industri, penaja dan penggiat kulinari, Pop Wasabi Awards berpotensi menjadi platform berprestij yang mampu mengangkat nama cef sushi tempatan ke tahap lebih tinggi.
Apabila tirai Grand Finale dibuka pada 22 Oktober nanti, mungkin yang dinobatkan sebagai juara hanyalah seorang. Namun kemenangan sebenar ialah apabila lebih ramai rakyat Malaysia mula menghargai bahawa di sebalik sepinggan sushi yang kelihatan ringkas, tersimpan satu warisan budaya, kemahiran dan dedikasi yang tidak ternilai.



