Onn Hafiz lebih popular daripada Anwar, BN dijangka menang 39 kerusi -ILHAM Centre

KUALA LUMPUR – Dapatan kajian lapangan ILHAM Centre merekodkan tahap populariti Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mencecah 79 peratus, sekali gus menjadikan beliau aset politik paling penting kepada BN sepanjang kempen berbanding populariti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencatatkan 40 peratus dalam kalangan responden.

ILHAM Centre menyatakan, dalam ‘setting’ PRN, pertimbangan pengundi lebih bersifat lokal, dengan fokus terhadap siapa yang mentadbir Johor, keberkesanan pentadbiran negeri serta manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat.

“PRN Johor menyaksikan pertandingan yang bukan sahaja melibatkan parti politik, malah turut memperlihatkan persaingan antara dua figura utama, iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi. Walaupun kedua-duanya turun berkempen secara agresif sepanjang tempoh pilihan raya, dapatan kajian ILHAM Centre menunjukkan pengundi lebih cenderung menilai prestasi kerajaan negeri berbanding Kerajaan Persekutuan.

“BN dilihat mendahului dari sudut penerimaan kempen apabila menjadikan prestasi Menteri Besar sebagai modal utama untuk menarik sokongan pengundi.

“Naratif kempen dibina atas kesinambungan pentadbiran, kestabilan politik dan rekod prestasi Onn Hafiz yang disokong oleh pembangunan berskala besar seperti RTS, pembangunan Data Centre, Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) serta pelbagai bentuk bantuan tunai kerajaan negeri.

“Sebaliknya, PH dilihat terlalu bergantung kepada pengaruh Perdana Menteri untuk mengangkat momentum kempen. Walaupun Anwar Ibrahim turun ke banyak kawasan dan menjadi wajah utama kempen PH, pendekatan tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada pembentukan gelombang sokongan yang ketara.

“Berbanding ketika menjadi pembangkang yang banyak bergantung kepada isu nasional seperti GST dan 1MDB, PH kini berdepan kesukaran menjual naratif kejayaan Kerajaan Persekutuan dalam konteks pilihan raya negeri,” kata dapatan kajian itu.

Seterusnya, ILHAM Centre memaklumkan, kajian lapangan mendapati sebahagian besar pengundi juga tidak dapat menyatakan dengan jelas apakah tema atau isu utama yang sedang dibawa oleh PH sepanjang kempen, selain menyeru supaya Kerajaan Persekutuan diberikan sokongan.

“Keadaan ini menyebabkan beberapa usaha PH untuk mengubah rentak kempen tidak memberikan impak yang signifikan. Cubaan menjadikan perdebatan antara Maszlee Malik dan Onn Hafiz sebagai tumpuan kempen tidak berjaya direalisasikan, manakala naratif integriti, akauntabiliti serta persoalan mengenai siapa yang benar-benar menikmati manfaat pembangunan Johor gagal mengatasi perhatian pengundi terhadap isu ‘bread-and-butter’.

“Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, mobiliti harian ke Singapura, perumahan mampu milik dan kesesakan lalu lintas kekal menjadi pertimbangan utama merentas kaum, umur dan kawasan. Dalam masa yang sama, perang mulut antara Menteri Besar dan Perdana Menteri lebih banyak berlegar di media sosial, khususnya TikTok dan Facebook yang digerakkan oleh penyokong parti, tanpa benar-benar membentuk sentimen dominan di peringkat akar umbi.

“Secara keseluruhannya, PRN Johor memperlihatkan bahawa populariti Menteri Besar berjaya mengatasi pengaruh Perdana Menteri dalam membentuk kecenderungan pengundi.

“BN lebih berjaya menyesuaikan kempen dengan karakter pilihan raya negeri melalui kerja kuat Onn Hafiz serta rekod pentadbiran kerajaan negeri yang mudah diterjemahkan kepada pengalaman harian rakyat.

“Sebaliknya, PH dilihat terlalu bergantung kepada karisma Perdana Menteri dan pencapaian kerajaan persekutuan, sedangkan ‘setting’ PRN lebih memerlukan naratif tempatan yang dekat dengan kehidupan pengundi. Dapatan ini memperlihatkan bahawa dalam pilihan raya negeri, kredibiliti kepimpinan di peringkat negeri masih menjadi faktor yang lebih dominan berbanding pengaruh pemimpin di peringkat nasional,” jelas dapatan kajian itu lagi.

Justeru ILHAM Centre mengunjurkan BN berada pada kedudukan yang selesa untuk membentuk kerajaan dengan berpotensi melepasi majoriti dua pertiga.

“Daripada 56 kerusi DUN, BN dijangka mendahului di 39 kerusi, PH di 9 kerusi, manakala 8 kerusi masih berada dalam kategori sengit.

“Kelebihan BN dibina daripada kombinasi calon yang lebih awal bekerja di kawasan, kekuatan jentera, sokongan teras Melayu yang kekal stabil serta populariti Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang tinggi merentas kaum dan generasi. Sebaliknya, perpecahan sokongan dalam blok pembangkang, kelemahan PN sebagai pencabar utama serta kegagalan PH membina naratif kempen yang dominan telah memperkukuhkan lagi kedudukan BN.

“Lapan kerusi sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu masih mempunyai tahap volatiliti yang tinggi dan dipengaruhi oleh tiga angkubah utama.

“Pertama, kadar keluar mengundi, khususnya pengundi Cina di kawasan bandar dan separa bandar serta pengundi Melayu di kerusi campuran.

“Kedua, arah sokongan penyokong PN, terutama selepas perpecahan PAS dan Bersatu yang dijangka memberi limpahan sokongan kepada BN di beberapa kawasan.

“Ketiga, sekitar 17 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan, didominasi pengundi muda yang bersifat ‘late decider’, lebih menilai personaliti dan rekod prestasi calon berbanding jenama parti, serta banyak dipengaruhi oleh media sosial menjelang hari pengundian,” jangkanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat