MOF digesa segerakan tindakan audit kenderaan konsesi kerajaan – PAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) perlu menyegerakan tindakan pengauditan dan pengesahan data baki hari kelewatan pembekalan bagi semua kementerian dan agensi pengguna bagi membolehkan Surat Tuntutan Penalti rasmi dapat dikemukakan kepada syarikat konsesi secepat mungkin.

Ini antara lima syor dikemukakan melalui Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi di bawah MOF.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, MOF dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu menjalankan kajian komprehensif bagi meneroka keberkesanan model pengurusan alternatif seperti sistem pembekal fleet pelbagai.

“Kajian itu hendaklah menilai potensi penjimatan kos dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berbanding model konsesi tunggal sedia ada yang mengikat Kerajaan sehingga tahun 2037.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan penyediaan pilihan model kenderaan alternatif bagi mengelakkan terjejasnya perkhidmatan sekiranya berlaku gangguan penamatan pengeluaran mengejut oleh pengilang automotif tunggal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mas Ermieyati berkata, MOF perlu memastikan pelaksanaan sistem digital pemantauan fleet kenderaan digunakan sepenuhnya oleh semua kementerian dan agensi pengguna.

“Sistem ini perlu mengeluarkan amaran awal tamat tempoh pajakan kenderaan bagi memastikan permohonan pesanan kenderaan dibuat dalam tempoh yang sepatutnya,” katanya.

Tambahnya, MOF perlu memasukkan penambahbaikan yang sudah dikenal pasti ke dalam Perjanjian Tambahan bersama SPANCO Sdn Bhd supaya kadar pajakan bulanan tidak dikenakan bagi mana-mana kenderaan konsesi yang sudah tamat tempoh pajakan namun terpaksa terus digunakan oleh kementerian atau agensi pengguna akibat kelewatan pembekalan kenderaan baharu.

“MOF perlu meminda ketetapan tempoh pembekalan 60 hari bekerja bagi penggantian kenderaan di dalam syarat kontrak sedia ada serta pekeliling semasa untuk diselaraskan dengan norma dan keupayaan sebenar industri pembuatan automotif semasa.

“Ia perlu mengambil kira faktor seperti perubahan varian kenderaan, tempoh pemprosesan kastam dan pendaftaran kenderaan, pemasangan peralatan operasi khusus, serta faktor geografi terutamanya bagi serahan kenderaan ke Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan pengenaan penalti yang tidak wajar di masa hadapan,” katanya menurut BH.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mendedahkan pengurusan kenderaan konsesi kerajaan kurang memuaskan apabila 6,028 kenderaan lewat dibekalkan oleh syarikat konsesi dan anggaran penalti RM54.51 juta tidak dikenakan kepada pihak terbabit.

Menurut LKAN 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat di sini hari ini, Perjanjian Konsesi (CA2) antara Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat konsesi yang berkuat kuasa mulai 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037 menetapkan setiap kenderaan perlu dibekalkan dalam tempoh 60 hari bekerja daripada tarikh pesanan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat