KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengadakan rundingan berkaitan pembayaran semula hutang atau pakej penyelesaian melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menegaskan, dakwaan berkenaan adalah tidak benar.
“Saya menafikan tuduhan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis, lapor Utusan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang membangkitkan dakwaan berdasarkan laporan media antarabangsa termasuk Sarawak Report dan The Wall Street Journal berhubung dakwaan Jho Low bersama delegasi China memasuki Malaysia secara sukarela bagi rundingan berkaitan pakej pembayaran semula 1MDB.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Kementerian Kewangan mengetahui mengenai dakwaan rundingan itu memandangkan isu 1MDB melibatkan pengurusan kewangan kerajaan, selain meminta pengesahan mengenai status penglibatan Jho Low yang masih bebas hingga kini.


