KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Nga Kor Ming yang menyebarkan propaganda murahan menggunakan wajah dan imej beliau untuk tujuan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kecaman isteri bekas Perdana Menteri itu menyusul selepas munculnya sebaran poster yang dikongsikan Kor Ming di media sosial yang menulis “Amaran untuk semua pengundi luar PRN Johor! If you don’t come back, I’ll be back” dengan menyertakan gambar Rosmah.
Rosmah menyelar perbuatan Kor Ming itu dan lebih memalukan katanya, beliau ialah seorang Menteri Persekutuan.
“Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi seperti budak pejabat parti yang terdesak mengejar undi.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar tersebut. Ini pembohongan jelas, berniat jahat dan dibuat untuk mengelirukan pengundi.
“Saya juga menyeru Menteri Komunikasi supaya mengambil tindakan terhadap Nga Kor Ming.
“Kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan kandungan palsu, adakah seorang Menteri DAP kebal hanya kerana dia berada dalam kerajaan?
“Saya tidak akan berdiam diri. Politik boleh berlawan. Tetapi jangan jadi pengecut sampai perlu guna gambar orang lain dan cipta fitnah murahan untuk menipu rakyat,” tempelak isteri Datuk Seri Najib Razak itu lagi.


