KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemandu Bersih (Bersih) juga mengulangi pendirian bahawa aset, dana, program dan institusi kerajaan tidak boleh digunakan untuk memberikan kelebihan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding.
Tegas Bersih, kegagalan menangani isu ini akan terus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti dan keadilan proses pilihan raya.
Justeru, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat semua kejadian yang dibangkitkan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang pilihan raya.
“Setelah masuk minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pasukan Pemantau Bersih mendapati amalan penyalahgunaan aset dan jentera kerajaan masih terus berleluasa sepanjang tempoh berkempen oleh parti-parti dan calon-calon bertanding, khususnya daripada parti kerajaan memerintah.
“Bersih mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan pelbagai sumber, aset dan institusi kerajaan bagi tujuan berkempen.
“Perbuatan ini memberikan kelebihan yang tidak adil kepada parti-parti dan calon-calon yang mempunyai akses kepada jentera kerajaan serta menjejaskan integriti pilihan raya,” tegas Bersih.
Menurut jawatankuasa itu lagi, sepanjang tempoh kempen bermula 27 Jun lepas, Pemantau Bersih telah menerima, mengumpul dan mengesahkan beberapa kejadian.
“Video bertarikh 1 Julai 2026 menunjukkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, berkempen di Klinik Kesihatan Sultan Ismail.
“4 Julai 2026 -program Jelajah TVET MARA di Dewan Hasil, Menara LHDN Kluang. Bersih menerima maklumat bahawa kehadiran pelajar daripada Kolej Kemahiran Mentari adalah diwajibkan. Sebuah video yang tular turut menunjukkan Menteri Besar Sementara, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggunakan program tersebut untuk menggesa para pelajar mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN).
Majlis Perasmian RISDA Agro Majestic di Dataran Kejat, Bandar Tenggara yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon N.34 Panti, Dr Naqib Ghazali.
“Program GEMA@KKDW di Dataran Tun Sri Lanang, Kota Tinggi yang dihadiri oleh Zahid, calon BN N.37 Johor Lama, Norliza Noh dan BN N.36 Sedili, Muszaide Makmor.
“Manakala pada 5 Julai 2026 Program “Temu Anwar dan Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning” di Seng Kee Restaurant yang dihadiri oleh Perdana Menteri. Pemantau Bersih mendapati terdapat cabutan bertuah yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan peserta perlu mendaftar bersama SKMM untuk melayakkan diri menyertai cabutan tersebut. Program yang sama turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, penskaleran gigi percuma dan pesta makan durian percuma. Perkara ini berpotensi melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
6 Julai 2026.
“Begitu juga dengan jualan Agro Madani Mega di DUN Permas yang dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Perkara ini berpotensi melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Pelancaran Program TVET MARA Peringkat Negeri Johor 2026 di Educity Sports Complex yang dihadiri oleh Zahid dan calon BN N.47 Kempas, Ramlee Bohari.
“Pada 7 Julai 2026 – program Dialog PRN Johor yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Johor diteruskan walaupun calon Menteri Besar BN Onn Hafiz menolak untuk menyertai sesi dialog bersama calon PH, Dr Maszlee Malik. Bersih turut menerima maklumat bahawa beberapa agensi dan jabatan kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor (MKN), Telekom Malaysia, Pos Malaysia, J-KOM dan SKMM telah dikerah untuk menghadiri program tersebut,” jelasnya.
Hal demikian, Bersih juga ingin menegaskan bahawa isu ini bukan soal menuding jari kepada mana-mana parti politik.
“Contoh-contoh yang dibangkitkan melibatkan pelbagai parti yang bertanding. Hakikatnya, penyalahgunaan aset dan jentera kerajaan telah menjadi budaya politik yang merentasi garis kepartian.
“Oleh itu, tidak timbul soal siapa yang lebih bersalah atau saling menuduh antara satu sama lain; kedua-duanya melakukan amalan yang sama dan kedua-duanya mesti dipertanggungjawabkan.
“Bersih akan terus konsisten dan objektif dengan menegur serta mendedahkan sebarang pelanggaran etika pilihan raya yang bersih dan adil tanpa mengira apapun parti atau gabungan politik yang melakukannya,” katanya.



