KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid mendakwa drama yang dilakonkan di Johor adalah hasil arahan dari Putrajaya.
Rafique berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bercantum di Putrajaya, berpisah di Johor.
“Paling kelakar dan lucu bila PH kecam BN tentang TVET dan Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dibalas pula BN kecam talkin (Datuk Seri) Shamsul Iskandar Md Akin.
“Rakyat perlu sedar. Ini wayang gambar diolah di Putrajaya, dimainkan di semua 56 panggung wayang eksklusif di Johor sahaja.
“Talkin “rasuah” salah. Ia langgar undang-undang pilihan raya. Lihat Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ( Akta 5). Beri rasuah, terima rasuah, minta rasuah, mohon minta lebih rasuah. Ini semua salah dan langgar undang-undang.
“Program TVET guna agensi kerajaan. Guna jentera kerajaan. Guna aset kerajaan. Ini juga salah. Lihat Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilian Raya 1954( Akta 5).
“Talkin dianggap satira kata si pembaca talkin. Tapi adakah rasuah dan pilihan raya lawak? Proses demokrasi demi rakyat bahan lawak pada kamu?! Permainkan sensitiviti orang Melayu dengan talkin, tak dikira sentuh 3R kamu? soal Rafique.
Sementara itu katanya, BN pula kata di program TVET tiada suruh pilih calon, hanya perkenal? Berkempen secara aktif guna jentera, agensi dan aset kerajaan tidak boleh ia salah.
“Apa kaitan perkenal calon dengan program TVET bawah agensi MARA? Masih bukan salahguna?
“Alasan-alasan lemah dan kelakar serta lucu dari blok yang jadi Kerajaan di Putrajaya tapi pura-pura berseteru di Johor.
“Yang jadi mangsa, rakyat dan pengundi. Dipermain hak demokrasi mereka. Berlakon di Johor diarah wayang dari Putrajaya.
“Inilah baru betul-betul Hollywood atau mungkin lebih hebat lagi, Kollywood. Berlakon bergaduh sekarang, minggu depan bergabung semula.
“Terus tipu rakyat dan pengundi. Begitulah sandiwara tayangan untuk tatapan umum,” selar Rafique.



