KUALA LUMPUR – Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim mendesak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membayar 5 peratus royalti minyak yang telah dibayar oleh Petronas kepada Terengganu.
Desakan Azman ini menyusul kenyataan Anwar yang sebelumnya memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak terlalu bergantung kepada prestasi Petronas.
“Kalau tak terlalu bergantung, bayarlah hak Terengganu. Dalam isu royalti minyak, ia bukan salah Petronas.
“Petronas dah bayar 5 peratus royalti minyak hak Terengganu yang diambil oleh Kementerian Kewangan (MOF). Menteri Kewangan yang cipta pelbagai alasan bila nak bayar balik duit tersebut kepada Terengganu.
“Perjanjian asal dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, Petronas bayar duit royalti tersebut terus ke dalam akaun Kerajaan Negeri sebanyak 2 kali setahun pada bulan Mac dan September.
“Apa yang berlaku sekarang ialah Kerajaan Pusat ambik duit tersebut. Bukannya Petronas tak bayar royalti. Ini yang perlu kita faham,” bidas pemimpin Pas itu.
Anwar sebelum itu berkata, hasil cukai mewakili lebih 70 peratus dari jumlah keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan, manakala dividen yang diperoleh daripada Petronas hanya mewakili sekitar lima hingga enam peratus daripada jumlah anggaran hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2026.
Justeru Anwar berkata, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak terlalu bergantung kepada prestasi Petronas.
“Di samping itu, kerajaan komited untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum disebabkan pendedahan kepada risiko ketidaktentuan harga minyak mentah global. Hasil berkaitan petroleum telah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 41.3 peratus daripada jumlah hasil pada tahun 2009.
“Menerusi langkah hasil yang telah dilaksanakan bermula tahun 2023, komposisi hasil berkaitan petroleum telah berjaya
“Malah hasil berkaitan petroleum diunjurkan lebih rendah pada tahun 2026 iaitu 12.5 peratus,” katanya yang juga Menteri Kewangan melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Anwar menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pelan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan fiskal kepada dividen Petronas memandangkan jumlah dividen yang diterima telah merosot daripada RM40 bilion pada tahun 2023 kepada RM20 bilion pada tahun 2026 dan adakah kerajaan mengakui bahawa kedudukan fiskal semasa masih terlalu bergantung kepada prestasi sebuah syarikat milik negara.
Hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2026 diunjur sebanyak RM343.1 bilion yang merangkumi hasil cukai sebanyak RM270.4 bilion dan hasil bukan cukai iaitu RM72.7 bilion.
Daripada jumlah tersebut, dividen daripada Petronas yang diunjur sebanyak RM20 bilion pada 2026 adalah termasuk di dalam kategori hasil bukan cukai tersebut.


