Oleh Zihan Zari
SABAK BERNAM – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus mendapat tempat di hati ibu bapa apabila Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) merekodkan kemasukan tertinggi seramai 1,108 pelajar baharunya bagi sesi 1-2026/2027.
Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid berkata, peningkatan kemasukan pelajar ke PSIS selari dengan perkembangan positif sektor TVET di peringkat nasional yang semakin mendapat kepercayaan masyarakat.
“Kesedaran ibu bapa terhadap potensi TVET sebagai laluan pendidikan dan kerjaya telah menyumbang kepada pertambahan jumlah pelajar yang memilih institusi TVET selepas menamatkan persekolahan,” katanya.
Katanya lagi, perkembangan itu turut menyokong aspirasi kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikuti program TVET di 1,395 institusi TVET di seluruh negara menjelang 31 Disember ini.
“Pencapaian PSIS merekodkan kemasukan jumlah pelajar baharu itu turut memperkukuh keyakinan terhadap TVET, apabila institusi ini mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 98.90 peratus (%) pada tahun 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan program pengajian yang ditawarkan dalam memenuhi keperluan industri semasa, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, angka kebolehpasaran 98.90% peratus ini jelas menunjukkan graduan PSIS bukan sahaja tamat pengajian, malah berjaya memasuki alam pekerjaan atau melanjutkan pengajian, sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan ibu bapa terhadap TVET.
Dalam perkembangan sama, tinjauan pada hari pendaftaran, mendapati rata-rata ibu bapa yang hadir bersama anak masing-masing menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana anak mereka berjaya melanjutkan pengajian di institusi TVET.
Suasana pendaftaran pelajar baharu berlangsung lancar dengan kehadiran ibu bapa yang memberikan sokongan penuh kepada anak-anak mereka memulakan perjalanan sebagai mahasiswa.
Kemasukan pelajar ke PSIS merupakan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memenuhi syarat-syarat tertentu dan terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diploma dan 1 program Asasi Teknologi Kejuruteraan berdasarkan permintaan industri keperluan semasa.-SUARA.TV



