MERSING – Tragedi kemalangan melibatkan gajah yang mencetuskan viral dalam negara di Gerik, Perak pada 11 Mei tahun lalu seakan berulang kembali hari ini tetapi ia berlaku di Mersing, Johor.
Kali ini, seekor gajah betina dipercayai ibu gajah enggan berganjak ke mana-mana selama 7 jam di Jalan Felda Nitar di Mersing, awal pagi tadi.
Dalam video yang viral di media sosial, gajah betina berkenaan enggan meninggalkan jasad seekor anak gajah yang mati selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Bezza kira-kira pukul 2.28 pagi.
Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Johor mengesahkan kejadian itu dan laporan diterima kira-kira pukul 8.30 pagi dan empat orang anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan awal.
Siasatan mendapati pada masa itu, seekor anak gajah betina yang dianggarkan berusia 5 tahun telah mati dan seekor gajah dewasa masih kekal di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, pemandu kereta yang terlibat kemalangan tersepit dalam kereta dan mengalami kecederaan di kaki.


