Apakah hantaran Tony Pua reaksi kepada titah Sultan Selangor?

KUALA LUMPUR,– Satu hantaran ringkas bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, di media sosial hari ini mencetuskan pelbagai spekulasi apabila dimuat naik hanya beberapa jam selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menyampaikan titah perutusan berhubung projek Laluan LRT3 Shah Alam.

Dalam hantaran tersebut, Tony Pua mempersoalkan sama ada seseorang mempunyai hak untuk memfailkan saman fitnah sekiranya individu berpengaruh mengeluarkan kenyataan yang mengandungi fakta tidak tepat sehingga mencemarkan reputasinya.

“If someone powerful gets his/her facts wrong and tarnishes my reputation, can/should I sue for defamation?” tulis beliau.

Beliau turut bertanya sama ada beliau mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya, sebelum secara sinis menambah sama ada tindakannya itu hanya akan mengundang lebih banyak laporan polis.

“Do I have the right to defend myself? Or will I receive more police reports?” katanya.

Walaupun Tony Pua tidak menamakan mana-mana individu dalam hantaran tersebut, ia dimuat naik selepas Sultan Selangor menyebut nama beliau dalam titah perutusan sempena kejayaan pelaksanaan projek LRT3.

Dalam titah itu, baginda menyatakan bahawa ketika Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng dengan Tony Pua sebagai penasihat, skop projek LRT3 telah dikecilkan atas alasan mengurangkan kos, termasuk mengecilkan saiz stesen, mengurangkan jumlah gerabak dan membatalkan lima cadangan stesen.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa LRT3 bukan projek “mega” untuk bermegah-megah, sebaliknya dibina bagi memenuhi keperluan rakyat Selangor yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

Baginda pada masa sama merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana menerima cadangan pembinaan LRT3 pada 2015, serta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana meneruskan projek itu dan mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan.

Setakat ini, Tony Pua tidak menjelaskan sama ada hantaran tersebut merujuk secara khusus kepada titah Sultan Selangor, dan beliau juga belum mengumumkan sebarang tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, masa hantaran itu dimuat naik sejurus selepas titah berkenaan menyebabkan ia mengundang pelbagai reaksi dan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai pihak yang dimaksudkan oleh bekas Ahli Parlimen DAP itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat