PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata struktur baharu Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kini dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan, berbanding hanya 49 ciri pada versi terdahulu.
Menurut beliau, penambahbaikan tersebut dilakukan bagi memastikan pasport negara terus menepati standard keselamatan yang tinggi, selain menjadikannya lebih sukar dipalsukan serta kekal diyakini oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.
“Penambahbaikan ini bukan dibuat semata-mata untuk kelihatan lebih moden, tetapi bagi memastikan pasport negara terus berada pada standard keselamatan yang tinggi, lebih sukar dipalsukan, serta kekal diyakini dan dihormati oleh pihak berkuasa di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki dokumen perjalanan yang bukan sahaja berkualiti dan tahan lama, malah menawarkan tahap keselamatan terbaik selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Pada masa sama, Saifuddin menegaskan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport masing-masing sekiranya dokumen perjalanan sedia ada masih sah digunakan.
“Tiada keperluan untuk tergesa-gesa menukar pasport sekiranya pasport sedia ada masih sah. Gunakan sehingga tamat tempoh, dan apabila tiba masanya nanti, anda akan menerima pasport baharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang menjelaskan mengenai struktur baharu Pasport Malaysia Antarabangsa yang diperkenalkan kerajaan bagi memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara.


