CYBERJAYA, 1 Julai 2026 – Malaysia menerima pengiktirafan global di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 apabila tiga (3) inisiatif yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dinamakan sebagai “Champion Project”.
Pengiktirafan ini mencerminkan kepimpinan Malaysia yang semakin menyerlah dalam memacu pembangunan digital yang inklusif, dipercayai dan berteraskan rakyat di peringkat serantau serta global. Pencapaian ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI melalui pelaksanaan inisiatif yang membangunkan bakat digital, memperkukuh tadbir urus yang baik serta memupuk kepercayaan awam terhadap ekosistem digital negara.
WSIS Prizes, yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sebagai sebahagian daripada proses WSIS yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merupakan antara pengiktirafan paling berprestij di dunia. Bagi edisi 2026, pertandingan ini menerima rekod sebanyak 1,595 penyertaan daripada 122 negara serta lebih 2.2 juta undian, sekali gus mencerminkan tahap daya saing pengiktirafan tersebut di peringkat antarabangsa.
“Champion Project” diberikan kepada lima (5) inisiatif terbaik bagi setiap kategori Garis Tindakan WSIS yang dipilih melalui penilaian serta undian awam global. Satu projek akan dipilih sebagai pemenang (“Winner”) bagi setiap kategori dan diumumkan di Majlis WSIS Prizes 2026 yang berlangsung pada 9 Julai 2026 di Geneva, Switzerland.
Tiga (3) inisiatif MCMC yang menerima pengiktirafan “Champion Project” adalah:
- AL C1 – Peranan Kerajaan dan Semua Pihak Berkepentingan dalam Menggalakkan ICT untuk Pembangunan: ASEAN 5G Skills Framework and
Capacity Development Platform
- AL C6 – Persekitaran yang Membolehkan: Human-Centered Digital Governance
Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 (FYP2030)
iii. AL C9 – Media: Portal sebenarnya.my
Ketiga-tiga pengiktirafan ini mencerminkan tiga (3) tonggak utama masa depan digital Malaysia, iaitu membangunkan bakat digital masa hadapan, memperkukuh tadbir urus digital yang dipercayai dan adaptif serta memupuk masyarakat digital yang berpengetahuan, berdaya tahan dan bertanggungjawab.
Dibangunkan oleh MCMC melalui rundingan bersama negara-negara anggota ASEAN, pihak industri dan pakar serantau, ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform meletakkan Malaysia sebagai peneraju pemikiran serantau bagi ekonomi 5G ASEAN. Rangka kerja ini, yang telah diperakukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) di Hanoi, Vietnam pada Januari 2026, mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kompetensi serta 12 jurang kemahiran keutamaan dalam ekosistem 5G. Inisiatif ini mewujudkan bahasa kemahiran bersama yang menyokong mobiliti tenaga kerja, pembangunan industri serta pelaburan masa hadapan di seluruh ASEAN.
Pengiktirafan terhadap Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five- Year Plan 2030 (FYP2030) pula mengiktiraf usaha Malaysia dalam menyediakan ekosistem komunikasi dan multimedia negara yang bersedia menghadapi generasi teknologi digital seterusnya. FYP2030 kini dikenali sebagai Pelan MCMC 2026-2030 (MCMC P2630).
Sebenarnya.my, portal semakan fakta dan pengesahan rasmi Malaysia yang dibangunkan oleh MCMC, diiktiraf atas sumbangannya dalam membanteras penyebaran maklumat palsu dan memperluas akses kepada maklumat yang sahih.
Pengiktirafan ini menandakan empat (4) tahun berturut-turut inisiatif digital Malaysia menerima pengiktirafan di pentas WSIS, sekali gus membuktikan keupayaan berterusan negara dalam membangunkan penyelesaian digital yang memberi impak nyata kepada masyarakat. Pencapaian ini menyusuli pengiktirafan terhadap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Stingray II pada tahun 2025, Program Advokasi dan Jangkauan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan pada tahun 2024 serta JENDELA pada tahun 2023.
MCMC akan terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan dasar dan piawaian antarabangsa melalui penglibatan strategik dalam ITU, ASEAN serta pelbagai platform digital global yang lain.


