KUALA LUMPUR – PAS dilihat kekal dengan pendirian menggerakkan jentera parti itu hanya di kerusi yang ditandinginya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tanpa sebarang arahan supaya membantu calon-calon daripada Bersatu atau parti lain yang menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Khas PAS Pusat pada Isnin, parti itu menetapkan lima keputusan utama bagi menghadapi PRN Johor. Antaranya mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di negeri itu, menggerakkan seluruh jentera PAS di 11 kerusi yang ditandingi, menyantuni pengundi menerusi slogan “Jom Jaga Johor”, menyeru pengundi tidak mengundi Pakatan Harapan (PH), serta memulakan persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kenyataan yang ditandatangani Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, langsung tidak menyebut mengenai usaha menggerakkan jentera bagi membantu calon-calon Bersatu atau parti-parti lain yang turut bertanding di bawah logo PN.
Pendirian itu dilihat meneruskan corak kempen PAS sepanjang PRN Johor apabila parti berkenaan lebih memberi tumpuan kepada kerusi yang ditandinginya sendiri berbanding menjalankan kempen secara menyeluruh bagi semua calon PN.
Malah, dalam ketetapan keempat, PAS hanya menyeru pengundi supaya tidak memberikan undi kepada PH, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
Pemerhati politik berpendapat kenyataan itu memberi isyarat bahawa keutamaan PAS ketika ini ialah memastikan PH tidak memperoleh kemenangan, tanpa secara jelas menggesa penyokongnya mengundi calon PN di semua kawasan.
Pendekatan itu berbeza dengan prinsip yang lazim diamalkan dalam sesebuah gabungan politik, di mana parti-parti komponen lazimnya mengarahkan seluruh jentera membantu semua calon yang bertanding di bawah lambang gabungan.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan harapan agar semua parti dalam PN saling membantu sepanjang kempen PRN Johor. Namun kenyataan terbaru PAS tidak menunjukkan sebarang perubahan terhadap pendekatan tersebut.
Ketetapan PAS itu juga dijangka terus mencetuskan persoalan mengenai tahap kesepaduan PN menjelang hari pengundian, khususnya apabila kerjasama di lapangan antara parti-parti dalam gabungan berkenaan dilihat masih belum berlaku secara menyeluruh.


