PAS pilih Hamzah selepas Muhyiddin beri ultimatum, dakwa Annuar Musa

KUALA LUMPUR – PAS terpaksa membuat keputusan menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas berdepan keadaan yang disifatkan sebagai “ultimatum” daripada kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kemelut dalaman Bersatu, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, PAS pada asalnya tidak pernah berniat memilih mana-mana pihak kerana menganggap kedua-dua kumpulan masih berada dalam Bersatu dan merupakan rakan dalam PN.

Katanya, PAS berusaha supaya konflik dalaman Bersatu dapat diselesaikan sendiri oleh parti itu tanpa menjejaskan gabungan pembangkang berkenaan.

“Pada PAS, sama ada Datuk Seri Hamzah ataupun mereka yang masih berada dalam Bersatu, semuanya adalah Bersatu. Kita tidak mahu melihat Bersatu berpecah,” katanya dalam podcast Jam Kesebelas Episod 30 yang diterbitkan semalam.

Annuar berkata, sepanjang konflik itu PAS mengemukakan pelbagai cadangan sama ada secara bertulis, melalui WhatsApp mahupun pertemuan bersemuka bagi mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, katanya, keadaan berubah apabila PAS akhirnya diminta memilih hanya satu pihak.

“Daripada sudut formal, rakan parti kita ialah Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi daripada sudut jentera dan komunikasi, kita banyak berurusan dengan Datuk Seri Hamzah dan ahli-ahli Parlimennya.

“Jadi kita hendak pilih yang mana?

“Sebab itu kita mahu kedua-duanya. Tetapi akhirnya kita diminta memilih satu pihak sahaja.

“Seolah-olah kita diberikan ultimatum,” katanya.

Menurut Annuar, kumpulan Muhyiddin ketika itu mengambil pendirian tidak lagi boleh menerima kumpulan Hamzah, sedangkan PAS melihat kumpulan tersebut masih mempunyai sokongan besar dalam Bersatu.

“Oleh kerana kumpulan Tan Sri Muhyiddin mengatakan langsung tidak boleh menerima kumpulan Hamzah, sedangkan PAS melihat kumpulan Hamzah bukan kumpulan kecil.

“Ahli Parlimennya ramai, ketua bahagiannya ramai dan mereka semuanya masih berada dalam Bersatu,” katanya.

Beliau berkata, atas pertimbangan itu PAS akhirnya membuat keputusan yang disifatkannya sebagai “sangat pahit”.

“Walaupun PAS memberi sokongan kepada Datuk Seri Hamzah dan kumpulannya, PAS tidak pernah meninggalkan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Annuar turut menolak tanggapan bahawa PAS bertindak mengikut emosi atau memusuhi Muhyiddin.

Sebaliknya beliau menegaskan sehingga hari ini rundingan kerusi pilihan raya masih melibatkan Bersatu, Exco Bersatu terus berada dalam kerajaan negeri diterajui PAS manakala Menteri Besar daripada Bersatu juga terus dikekalkan.

“Ini menunjukkan keikhlasan PAS. Ini bukan pergaduhan emosi. Ia adalah pertimbangan politik dalam keadaan yang memaksa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan hubungan PAS dengan Hamzah bukan bermaksud parti itu mahu mengangkat Presiden Parti Wawasan Negara itu sebagai pengganti Muhyiddin.

Sebaliknya, katanya, sejak awal penubuhan kerjasama politik antara PAS dan Bersatu, Hamzah merupakan individu yang banyak mengendalikan urusan pentadbiran dan komunikasi antara kedua-dua parti ketika menjadi Setiausaha Agung Bersatu.

“Oleh sebab itu PAS mengekalkan hubungan yang baik dengannya kerana pada pemahaman PAS, Hamzah ialah tokoh yang memang didukung oleh Bersatu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat