KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan wujud rundingan rasmi antara PAS dan UMNO bagi membincangkan kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai hubungan kedua-dua parti itu.
Menurut beliau, perbincangan tersebut bukan sekadar dakwaan atau pertemuan tidak rasmi, sebaliknya melibatkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai wakil daripada kedua-dua parti.
“Memang ada jawatankuasa yang ditubuhkan. Terdapat empat wakil daripada UMNO dan empat wakil daripada PAS yang duduk berbincang.
“Pelbagai pilihan dan kemungkinan dibincangkan,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas episod ke-30 yang dikendalikan oleh penganalisis politik Ab Jalil Backer dan Elviza Michele Kamal.
Bagaimanapun, Annuar berkata usaha tersebut tidak dapat dimuktamadkan bagi menghadapi PRN Johor selepas UMNO membuat keputusan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).
“Masa agak singkat. Kita sebenarnya cuba menggerakkan perkara ini sejak sebelum Pilihan Raya Negeri Johor lagi.
“Tetapi apabila rundingan mula berjalan, UMNO telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi menggunakan lambang Barisan Nasional.
“Jadi timbul beberapa kekangan yang menyebabkan usaha itu sukar direalisasikan untuk PRN Johor kali ini,” katanya.
Walaupun rundingan tersebut tidak menghasilkan kerjasama untuk pilihan raya kali ini, Annuar menegaskan ia tidak bermakna hubungan antara PAS dan UMNO kembali tertutup.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kesediaan kedua-dua parti duduk semeja sebagai satu perkembangan positif yang membuka ruang kepada kerjasama lebih besar pada masa hadapan.
“Namun begitu, ini tidak bermakna rundingan tersebut tidak boleh diteruskan.
“Pintu perbincangan telah dibuka.
“Pada saya, itu sendiri sudah satu kemajuan. Dahulu PAS dan UMNO tidak mahu duduk semeja. Tidak mahu bertentang mata. Sekarang sekurang-kurangnya perbincangan boleh berlangsung.
“Malah hubungan antara PAS dan UMNO hari ini jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Annuar turut menjelaskan bahawa pendirian PAS sejak kebelakangan ini adalah mahu menjadikan PN sebuah gabungan yang lebih terbuka dan inklusif, termasuk dalam usaha memperkukuhkan penyatuan politik Melayu.
Menurutnya, PAS berpendapat PN tidak boleh menjadi gabungan yang terlalu eksklusif sehingga menutup ruang perbincangan dengan parti-parti lain.
“Apa yang berlaku ialah PN mengambil satu pendirian yang jelas bahawa gabungan ini mesti bersifat terbuka.
“PN mesti memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan parti-parti politik Melayu sejauh yang boleh.
“PN tidak boleh menjadi terlalu eksklusif. PN perlu bersikap inklusif,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut turut menjadi antara perbezaan pandangan utama antara PAS dan Bersatu dalam beberapa isu strategik membabitkan hala tuju PN.
Sebelum ini, beberapa laporan media menyebut wujud usaha mengadakan rundingan antara PAS dan UMNO menjelang PRN Johor, namun kedua-dua parti tidak pernah mengesahkan secara terbuka kewujudan mekanisme rasmi perbincangan itu.
Pendedahan Annuar itu merupakan pengesahan paling jelas setakat ini bahawa rundingan tersebut benar-benar berlaku, malah melibatkan jawatankuasa khas yang diwakili empat pemimpin daripada PAS dan empat wakil UMNO bagi meneliti kemungkinan kerjasama politik antara kedua-dua parti.


