Tak wajar ugut Umno, ini bukan parti warisan anak beranak- Asyraf beritahu Puad

KUALA LUMPUR – Umno bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin.

Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebooknya menceritkan kronologi dan kisah di sebalik tindakan Datuk Puad Zarkashi meninggalkan Umno yang terkait dengan langkah Umno yang tidak akur kepada kehendaknya untuk mencalonkan anak beliau sebagai penggantinya di DUN Rengit.

Tegas Asyraf, cukup-cukuplah Umno ini diugut sedemikian rupa.

“Saya berasa dukacita dengan pengumuman sahabat saya Datuk Puad Zarkashi yang mengumumkan untuk keluar dari Umno serta merta hari ini.

“Ya, itu merupakan hak demokrasi beliau yang dipertahankan oleh Perlembagaan. Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala kebaikan dilimpahkan atas jasa yang disumbangkan kepada parti selama ini.

“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal Umno Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu. Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya Kepimpinan Tertinggi Umno tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit.

“Benar, anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya.

“Walau bagaimanapun adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.

“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini.

“Untuk rekod, ini bukan kali pertama beliau mengugut untuk keluar parti apabila tidak memenuhi kehendak beliau. Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno juga beliau pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat,” jelas Asyraf.

Tegas beliau, perjuangan Umno jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu.

Kata Asyraf lagi, parti Umno telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama.

“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. Bak kata pepatah Melayu, “air susu dibalas air tuba”, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan.

“Umno mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat