KUALA LUMPUR – Trend kehilangan pekerjaan yang berlaku sejak Januari lalu masih berada dalam keadaan terkawal, dengan kadar pengangguran masih berada di bawah tahap 4 peratus.
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata, kerajaan tetap memandang serius isu berkenaan, selain pengecilan operasi perniagaan, terutama dalam keadaan ekonomi global masih tidak menentu.
“Kadar pengangguran berubah sedikit untuk Mac, iaitu 2.9 peratus dan April kepada tiga peratus, namun perkara ini masih berada di bawah paras 4 peratus, yang kita anggap sebagai penggunaan kadar tenaga guna tenaga penuh.
“Dari segi trend kehilangan pekerjaan, 6,197 pekerja hilang pekerjaan bagi Jun, sehingga 22 Jun tapi jika berbanding Mei, jumlahnya 7,766 pekerja. Jadi kita jangkakan keadaan ini boleh dikawal,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Syahir Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi yang diambil kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global serta hasil pelaksanaannya setakat ini.
Akmal Nasrullah berkata, sehingga April lalu, jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta, manakala penduduk bekerja meningkat kepada 16.82 juta orang.
Dari segi pengambilan atau penempatan semula pekerjaan, sebanyak 55 peratus peningkatan direkodkan MyFutureJobs sehingga 12 Jun lalu, iaitu 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang pada Mei, menjadikan jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan bagi 2026 adalah seramai 62,644 orang, lapor BH.
Selain itu, Akmal Nasrullah, berkata sehingga 18 Jun lalu, kerajaan meluluskan pembiayaan lebih RM700 juta kepada lebih 1,000 perindustrian kecil sederhana (PKS), dengan kira-kira RM4 bilion lagi masih tersedia untuk membantu golongan itu.
Dari segi pakej daya tahan ekonomi atau Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE), sebanyak RM710 juta disediakan bagi langkah intervensi melindungi sektor pekerjaan.
“Di bawah PACE ini, lebih RM580 juta kita salurkan atau sediakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh sistem insurans pekerjaan.
“Sebanyak RM100 juta disediakan untuk HRD Corp menjalankan latihan dan penempatan kerja, yang disokong platform MyFutureJobs untuk membantu padanan pekerjaan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Syahir, sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan insentif sementara kepada majikan yang mengekalkan tenaga kerja sedia ada bagi mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran, Akmal Nasrullah, berkata berdasarkan kajian terhadap trend kehilangan pekerjaan, termasuk paling tinggi direkodkan pada Januari lalu, yang membabitkan lebih 10,000 orang, ia dilihat banyak membabitkan proses pertukaran tahun dan menguruskan kembali struktur perniagaan.
“Pemberhentian pekerja berlaku tapi pada masa sama, penting untuk kita menilai pengambilan (pekerja) itu berlaku atau tidak kerana jika pihak industri melakukan pengecilan operasi dan bersifat jangka panjang, maksudnya mereka tidak akan mengambil pekerja lagi.
“Ketika ini, bila ada berlaku gangguan sekali pun, ianya hanya bersifat sementara,” katanya.



