Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor akan buat laporan polis

ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor.

Onn Hafiz berkata, apa yang dijelaskan ialah pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Menurut beliau, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati kerana proses itu perlu melalui peruntukan undang-undang tubuh negeri dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Puad yang sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dikawal Istana.

Onn Hafiz menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana didakwa memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi seolah-olah Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.

Katanya, Puad berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti, namun kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja.

“Kenyataan sedemikian juga boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berkata UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, selain tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat