Saudia dinobatkan perkhidmatan kabin terbaik Timur Tengah dalam anugerah APEX 2026

KUALA LUMPUR – Usaha berterusan Saudia dalam memperkukuhkan pengalaman pelanggan dan meningkatkan standard hospitaliti udara membuahkan hasil apabila syarikat penerbangan kebangsaan Arab Saudi itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Kabin Terbaik di Timur Tengah bagi Anugerah APEX 2026.

Pengiktirafan yang diumumkan dalam majlis Anugerah APEX di Dublin, Ireland itu dilihat sebagai bukti kejayaan transformasi menyeluruh yang sedang dilaksanakan Saudia dalam memperbaharui pengalaman perjalanan penumpang dari awal hingga akhir.

Tidak seperti kebanyakan anugerah industri yang dinilai oleh panel pakar, anugerah APEX ditentukan berdasarkan maklum balas sebenar jutaan penumpang dari seluruh dunia. Bagi edisi 2026, lebih sejuta penerbangan yang melibatkan lebih 600 syarikat penerbangan dinilai menerusi pelbagai aspek termasuk kualiti perkhidmatan kabin, keselesaan tempat duduk, makanan dan minuman, sistem hiburan serta sambungan Wi-Fi.

Ketua Pegawai Pengalaman Tetamu Saudia, Rossen Dimitrov berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan dedikasi kru kabin yang menjadi wajah utama syarikat penerbangan itu dalam memberikan pengalaman terbaik kepada para tetamu.

Menurut beliau, profesionalisme, keramahan dan perhatian terhadap setiap perincian yang ditunjukkan oleh kru kabin menjadi faktor penting dalam membentuk pengalaman perjalanan yang lebih bermakna dan konsisten.

“Anugerah ini merupakan penghormatan kepada kru kabin kami yang setiap hari berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu. Ia turut mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam mengangkat nilai hospitaliti Saudi ke peringkat global,” katanya.

Kejayaan tersebut hadir ketika Saudia giat melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan perkhidmatan termasuk pengenalan Pengalaman Saudia Baharu serta program Saudia BEYOND yang memberi fokus kepada pembangunan standard hospitaliti dan kecemerlangan perkhidmatan dalam kalangan kakitangan barisan hadapan.

Melalui program itu, Saudia berusaha memastikan setiap titik sentuhan pelanggan, sama ada di lapangan terbang mahupun di dalam pesawat, mampu memberikan pengalaman yang lebih lancar, mesra dan memenuhi jangkaan penumpang moden.

Pencapaian terbaharu ini turut memperkukuhkan kedudukan Saudia dalam kalangan syarikat penerbangan utama dunia yang sedang melalui fasa transformasi pesat seiring perkembangan sektor pelancongan dan penerbangan Arab Saudi.

Seiring aspirasi Wawasan Saudi 2030, syarikat penerbangan itu terus melabur dalam aspek pengalaman pelanggan, pembangunan bakat tempatan dan inovasi perkhidmatan bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara serta meningkatkan daya saing Arab Saudi sebagai hab penerbangan global.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat