KUALA LUMPUR – Ketua DAPSY Kebangsaan Woo Kah Leong mempertikai konflik yang berlaku apabila Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz dihalang daripada memasuki kawasan tanah Felda sehingga menyebabkan program Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026, baharu-baharu ini dibatalkan.
Kata Adun Pasir Bedamar itu mempersoalkan, bukankah Menteri yang uruskan Felda dan Pengerusi Felda sendiri datangnya daripada parti Umno.
“Pelik betul apabila terbaca berita ini. Menteri yang uruskan Felda tidak ingin duduk semeja ke ataupun Pengerusi Felda tidak ingin duduk semeja?
“Siapakah Menteri uruskan Felda dan Pengerusi Felda? Daripada parti sendiri kan?
“Bila dah tak ada pencapaian untuk dibangga-banggakan, serang DAP. Lepas tak tahu nak serang apa, serang sembarangan pula. Sampai serang parti sendiri.
“Memang betul cakap “poster boy bukan jaminan jadi MB”, tempelak Kah Leong.
Semalam, Onn Hafiz berkata, insiden tersebut merupakan pertama kali seorang Menteri Besar dihalang menyempurnakan program bersama komuniti Felda di Negeri Johor.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, tiada sebarang arahan atau halangan untuk Menteri Besar masuk ke kawasan Felda.
Zahid menjelaskan tindakan seperti yang didakwa Onn Hafiz itu juga tidak diarahkannya.
“Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan Felda,” kata Zahid.


