KUALA LUMPUR – Seorang pemerhati politik mendakwa beliau sempat merakam detik-detik kontroversi melibatkan akaun Facebook rasmi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang didakwa memuat naik satu kenyataan media berbeza daripada kandungan sidang media yang baru sahaja diadakan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam semalam.
Pemerhati politik berkenaan, Mohd Faisal, menerusi satu hantaran panjang di Facebook berkata beliau menyedari perkara itu ketika menonton secara langsung sidang media Ahmad Samsuri yang berlangsung sekitar jam 11.45 malam.
Menurutnya, tiga intipati utama sidang media tersebut ialah penerimaan dua parti baharu ke dalam PN, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu tidak dibincangkan, serta mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagaimanapun, beberapa minit kemudian beliau mendakwa melihat satu kenyataan media dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi Ahmad Samsuri yang mengandungi kandungan berbeza.
Menurut tangkap layar yang dikongsikannya, kenyataan media pertama yang didakwa dimuat naik sekitar jam 11.57 malam itu menyatakan PN menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai anggota baharu, namun turut mengandungi keputusan bahawa PN tidak akan menyertai PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kenyataan itu juga didakwa menyebut penggunaan lambang PN dalam ketiga-tiga pilihan raya negeri berkenaan tidak dibenarkan serta mengumumkan penggantungan sementara kepimpinan PN negeri di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Mohd Faisal berkata beliau kemudian meninggalkan komen bertanyakan kesahihan kenyataan tersebut kerana ia dilihat bercanggah dengan sidang media yang baru berlangsung.
“Saya membuka akaun berkenaan untuk mengesahkan sama ada ia akaun tulen atau palsu. Ternyata ia akaun tulen dan mempunyai tanda pengesahan biru,” katanya.
Menurut beliau, tidak lama kemudian hantaran tersebut dipadamkan sebelum satu kenyataan media baharu dimuat naik menerusi akaun yang sama.
Kenyataan kedua yang dimuat naik sekitar jam 12.16 tengah malam itu pula dilihat selari dengan kenyataan Ahmad Samsuri dalam sidang medianya, termasuk keputusan menerima Pejuang dan PCM sebagai anggota baharu PN serta memuktamadkan agihan kerusi melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera.
Mohd Faisal mendakwa beliau sekali lagi meninggalkan komen bertanyakan perubahan kenyataan tersebut, namun mendakwa komen berkenaan turut dipadamkan.
Beliau berkata kejadian itu menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk dakwaan bahawa kenyataan media pertama adalah palsu atau kemungkinan akaun berkenaan telah digodam.
“Perkara ini serius. Menggunakan letterhead dan nama orang lain adalah satu kesalahan.
“Jika benar akaun berkenaan telah diceroboh atau digodam, laporan polis perlu dibuat segera kerana ia melibatkan seorang pemimpin penting negara dan sebuah gabungan politik utama,” katanya.
Setakat ini, tiada penjelasan rasmi dikeluarkan oleh Ahmad Samsuri atau pihak PN mengenai perbezaan antara kedua-dua kenyataan media yang dimuat naik menerusi akaun Facebook berkenaan sebelum salah satunya dipadamkan.
Kontroversi itu berlaku ketika PN sedang berdepan perhatian ramai susulan keputusan menerima Pejuang dan PCM yang kini dalam proses penjenamaan semula sebagai Parti Wawasan Negara, selain rundingan berkaitan penyertaan gabungan itu dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.


