KUALA LUMPUR – Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu melahirkan rasa kecewa kerana Pakatan Harapan (PH) terpaksa menentang rakan kongsi peringkat Persekutuan mereka, Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.
Berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) di Bukit Gambir di Tangkak, malam tadi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu yang mesra dengan panggila Mat Sabu menyifatkan pemimpin Umno sebagai “rakan-rakan”
“Kita memang la sedih nak lawan dengan rakan-rakan kita. Dalam mesyuarat Kabinet memang (Setiausha Agung) Anthony Loke duduk sebelah presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Saya duduk di sebelah Timbalan Presiden Umno (Datuk Seri Mohamad Hasan).
“Kami berlawak, kami bergurau. Mari sini, nak berlawan. Tapi apa boleh buat? Itu pilihan mereka.
“Maka kita pun sebut. Nak kawan pun boleh, lawan pun boleh,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu menurut Malaysiakini.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini mengumumkan bahawa mereka akan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar itu juga dilaporkan berkata dia tidak mahu DAP berada dalam kerajaan negeri jika BN terus diberi mandat memimpin Johor.
BN dan PH merupakan sekutu di peringkat persekutuan selepas bergabung membentuk kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum 2022, namun situasi yang sama tidak berlaku di Johor apabila BN menguasai majoriti kerusi DUN.
Gabungan itu menang 40 daripada 56 kerusi dalam PRN Johor pada 2022, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga yang membolehkannya membentuk kerajaan negeri tanpa PH.
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, jika boleh dalam politk, mereka hendak berkawan.
“Letih nak berlawan ni. (Kita) jadi pembangkang cukup lama. Datuk Seri Anwar Ibrahim dah duduk kerajaan, nak jadi pembangkang juga lepas tu. Lepas tu balik, menjadi kerajaan, dan kita tak mau ulang alik begitu.
“Kita mahu pilihan raya akan datang, kita akan terus memerintah Putrajaya. Boleh? Langkah itu dimulakan di negeri Johor ini,” katanya sambil mengingatkan semua pihak agar tidak mengubah amalan demokrasi negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik atau individu tertentu.
Katanya, sistem demokrasi negara perlu terus dipertahankan dengan memberi ruang kepada parti-parti politik bersaing secara sihat sama ada untuk membentuk kerajaan atau memainkan peranan sebagai pembangkang.
“Sama ada kita menang atau mereka kalah, itu bukan persoalannya. Yang penting pertandingan mesti berlaku antara parti dengan parti.
“Jangan ubah cara demokrasi negara. Biarlah parti-parti politik bergelut untuk memerintah atau menjadi pembangkang,” katanya lagi.
Mat Sabu menegaskan setiap parti komponen perlu menerima keputusan rundingan dan bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan kemenangan gabungan.
Katanya, proses pembahagian kerusi bagi PRN Johor bukan sesuatu yang mudah, namun berjaya diselesaikan menerusi rundingan dan persefahaman antara parti-parti dalam PH.
Beliau turut mengingatkan bahawa calon daripada Amanah, PKR dan DAP perlu dibantu secara bersama tanpa mengira parti yang bertanding di sesuatu kawasan.



