Melaka mungkin bubar DUN 3 bulan lagi – Ab Rauf

KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkemungkinan besar berlaku dalam tempoh tiga bulan lagi.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan situasi politik sekarang, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menyusul untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang September ini, sejurus selesai PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Tempoh habis penggal DUN Melaka hanya berakhir pada hujung tahun ini dan dalam tempoh berkenaan, pembubaran boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Justeru, sebelum sampai waktunya (pembubaran DUN), kita akan terus menjalankan urusan kerajaan dan menyantuni rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi kelak,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri, di Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh lapor BH pada Isnin.

PRN Melaka diadakan pada November 2021 selepas berlaku krisis politik apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyebabkan kerajaan negeri kehilangan majoriti dan membawa kepada pembubaran DUN pada 4 Oktober 2021.

Keputusan PRN itu menyaksikan BN meraih kemenangan besar dengan 21 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga, diikuti Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.

Ab Rauf berkata, PRN Melaka tetap perlu diadakan tahun ini kerana ia adalah proses demokrasi yang ditetapkan mengikut tempoh penggal pentadbiran semasa.

Susulan itu, katanya, kerajaan negeri ketika ini menumpukan kepada pentadbiran serta pembangunan negeri sebelum memasuki tempoh pilihan raya penghujung tahun ini.

“Tarikh akhir kita (penggal ini) adalah pada hujung Disember dan sudah pasti ia (PRN) akan diadakan sebelum tarikh itu,” katanya.

Sementara itu, Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, berkata penggal DUN Melaka dijadual tamat 27 Disember ini dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

“Bagaimanapun keputusan untuk membubarkan DUN lebih awal atau menunggu sehingga tamat tempoh adalah tertakluk sepenuhnya kepada Ketua Menteri dan segala faktor sudah tentu akan diambil kira sekiranya pembubaran dewan dibuat lebih awal daripada tarikh tamat penggal,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat