KUALA LUMPUR – AirAsia X Bhd menjangkakan penurunan harga tiket penerbangan secara berperingkat susulan penyusutan harga bahan api jet kebelakangan ini, di samping memulihkan semula kapasiti yang dikurangkan ketika lonjakan harga minyak akibat konflik di Asia Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bo Lingam berkata, syarikat penerbangan itu sudah pun menurunkan kadar tambang sebanyak lima peratus pada 15 Jun lalu dan akan meneruskan semakan harga tiket setiap minggu bersandarkan pergerakan harga bahan api.
“Harga bahan api sudah turun, memandangkan industri ini terkesan hebat akibat peningkatan kos terbabit sebelum ini. Jadi, besar harapan kita agar situasi di Asia Barat semakin membaik bagi membolehkan kita bergerak maju dengan segera. Saya juga melihat permintaan mula melonjak sejak hujung minggu lalu.
“Ramai individu mula membuat tempahan penerbangan. Kita sudah mengurangkan tambang sebanyak lima peratus pada 15 Jun dan kini menyemak kadar berkenaan minggu demi minggu. Seiring kejatuhan harga bahan api, kita akan menyelaraskan semula kadar tambang kita,” katanya semasa Sesi Taklimat Tinjauan Penerbangan AirAsia pada Isnin, lapor Bernama.
Biarpun berdepan kos bahan api yang tinggi dan gangguan global, Bo menjelaskan AirAsia berjaya mengekalkan faktor muatan yang kukuh pada tahap 83 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Beliau mendedahkan syarikat penerbangan itu menanggung kerugian sebanyak RM150 juta pada Mac 2026 ekoran lonjakan mendadak harga bahan api secara tiba-tiba.
Bagi meningkatkan keuntungan dan daya tahan operasi, Bo berkata AirAsia meluangkan masa tiga bulan lalu bagi meneliti semula rangkaian mereka, menggantung laluan kurang berprestasi serta memperkasakan langkah pengurusan kos.
Beliau menambah, kumpulan turut mempercepatkan aktiviti penyelenggaraan dan usaha optimasi armada, termasuk menamatkan perkhidmatan pesawat lama secara berperingkat yang melibatkan kos bahan api serta penyelenggaraan yang tinggi.
“Kita juga memulangkan semula semua pesawat lama yang berusia antara 16 hingga 17 tahun. Ada sekitar 12 pesawat tahun ini yang akan dipulangkan.
“Jadi, dengan kemasukan model Long Range (LR) A321LR, kita mahu memastikan laluan diselaraskan dan rangkaian dioptimumkan kerana pesawat lama ini menggunakan lebih banyak bahan api, sekali gus tidak berbaloi untuk disimpan. Kos penyelenggaraannya juga lebih tinggi,” katanya.
Bo berkata AirAsia X bakal menerima tujuh lagi pesawat tambahan jenis Airbus A321LR tahun depan, susulan penerimaan dua pesawat model sama tahun ini. Langkah ini membolehkan syarikat mengendalikan pesawat yang lebih jimat bahan api bagi laluan jarak sederhana dan jauh.
Sementara itu, Bo menjangkakan AirAsia X mampu memulihkan sebahagian besar kapasiti penerbangan yang dikurangkan sebelum ini menjelang akhir Ogos 2026.
“Apa yang kita laksanakan sekarang adalah mengembalikan semula penerbangan yang pernah diuruskan mengikut kapasiti sebelum ini. Apabila permintaan kembali pulih, kita akan meningkatkan semula kapasiti ke tahap asal secara perlahan-lahan,” jelasnya.
Beliau menegaskan kumpulan itu kekal komited terhadap pelan pertumbuhannya, termasuk pembukaan laluan ke Bahrain dan London yang dijadualkan bermula Ogos 2026.


