KUALA LUMPUR, 22 Jun – Dalam industri umrah, kejayaan bukan lagi diukur semata-mata melalui jumlah jemaah yang dibawa ke Tanah Suci atau pakej yang paling murah ditawarkan kepada pengguna. Sebaliknya, masa depan industri kini bergantung kepada satu perkara yang jauh lebih bernilai iaitu kepercayaan.
Mesej itu menjadi intipati utama sepanjang penganjuran The Umrah, Hajj International Tourism Fair (UHIT) 2026 yang berlangsung di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur. Memasuki edisi ke-15, UHIT bukan sekadar menghimpunkan pemain industri umrah dan pelancongan Islam dari Malaysia serta Timur Tengah, malah menjadi platform penting untuk membentuk semula hala tuju industri yang kini berdepan cabaran baharu dalam era pasca pandemik dan transformasi besar-besaran yang sedang berlaku di Arab Saudi menerusi Saudi Vision 2030.
Penganjuran bersama BUMITRA Malaysia dan Perfect Events itu menghimpunkan kira-kira 65 syarikat utama dari Arab Saudi serta beberapa negara Timur Tengah yang mewakili pemilik hotel, syarikat pengangkutan, syarikat pengurusan destinasi dan penyedia pelbagai perkhidmatan pelancongan Islam. Secara keseluruhannya, lebih 100 organisasi antarabangsa mengambil bahagian, manakala lebih 1,000 pemain industri tempatan dijangka menghadiri program tersebut.

Menurut Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, objektif utama program itu adalah untuk memudahkan urusan perniagaan antara pemain industri Malaysia dengan rakan strategik dari Arab Saudi tanpa perlu mereka berulang-alik ke negara tersebut.
“Kebiasaannya setiap kali memasuki musim baru Hijrah, pemain industri Malaysia perlu ke Arab Saudi untuk bertemu pemilik hotel dan penyedia perkhidmatan. Melalui kerjasama bersama Perfect Events, kita membawa mereka datang ke Malaysia supaya proses rundingan perniagaan menjadi lebih mudah dan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan kos, malah membuka ruang kepada lebih banyak syarikat tempatan membina jaringan strategik secara terus dengan pemilik hotel, syarikat pengangkutan dan penyedia perkhidmatan utama di Arab Saudi.
Namun, apa yang lebih penting daripada urusan jual beli ialah usaha membina semula keyakinan masyarakat terhadap industri umrah.
Isu penipuan, kegagalan syarikat mengurus operasi dan kelemahan tadbir urus sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan persepsi orang ramai terhadap industri tersebut. Hakikatnya, menurut Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, tidak semua kes berpunca daripada unsur penipuan.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat dua situasi berbeza yang sering berlaku. Pertama ialah kes penipuan sebenar yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab, manakala yang kedua ialah kegagalan pengurusan syarikat akibat tekanan kos operasi.
“Kadang-kadang berlaku kenaikan harga hotel dan penerbangan secara mendadak disebabkan faktor permintaan dan penawaran. Ada syarikat yang tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menampung peningkatan kos tersebut. Akhirnya mereka menggunakan bayaran daripada jemaah baharu untuk menampung komitmen terdahulu sehingga masalah menjadi semakin besar,” katanya.
Menurut beliau, syarikat yang terus beroperasi dalam keadaan defisit akhirnya akan berdepan kerugian yang jauh lebih besar kerana kegagalan mengurus aliran tunai secara mampan.
Bagi menangani isu tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti beberapa pendekatan baharu termasuk cadangan memperkenalkan mekanisme bank jaminan bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar mempunyai keupayaan kewangan dibenarkan menawarkan pakej umrah kepada orang ramai.
Selain itu, kawalan terhadap promosi pakej umrah juga akan diperkukuhkan supaya hanya pakej yang memenuhi syarat serta mendapat kelulusan pihak berkuasa dibenarkan dipasarkan.
Beliau turut menggesa pengguna supaya lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pembayaran.
“Jika sesuatu pakej tidak mendapat pengesahan atau kelulusan daripada MOTAC, pengguna perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu murah,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan bersama pemain industri sedang merangka pelan daya tahan atau resilience plan bagi membantu syarikat membina kekuatan kewangan dan pengurusan risiko yang lebih sistematik supaya mereka mampu menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan.
Usaha membina semula keyakinan itu turut diperkasakan melalui pelancaran Inisiatif Al-Qawiy Al-Amin yang diperkenalkan oleh BUMITRA Malaysia.
Dr. Wan berkata, inisiatif tersebut diwujudkan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi pelancongan yang mengendalikan umrah melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
“Kita tidak lagi bercakap mengenai berapa ramai jemaah yang dibawa, tetapi bagaimana kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada setiap jemaah. Kita mahu melahirkan syarikat yang benar-benar kompeten, mempunyai kemampuan kewangan, pengurusan yang baik serta menunaikan setiap janji kepada pelanggan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa konsep Al-Qawiy membawa maksud kekuatan dan keupayaan, manakala Al-Amin pula menekankan sifat amanah yang menjadi asas kepada industri umrah.
“Kalau syarikat menjanjikan hotel empat bintang, maka itulah yang mesti diberikan. Jika perkara asas seperti ini gagal dipenuhi, kepercayaan masyarakat akan hilang,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan disusuli dengan pelbagai program latihan dan pembangunan kompetensi secara berstruktur bersama ITC bagi memastikan pemain industri Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang sedang berlaku di Arab Saudi.
Transformasi menerusi Saudi Vision 2030, katanya, bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada pengendali umrah Malaysia, malah mewujudkan persaingan baharu yang memerlukan syarikat tempatan meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti perkhidmatan.

Seiring dengan perubahan tersebut, Mohammad Faisal berkata pemain industri Malaysia perlu memberi perhatian kepada tiga elemen utama yang menjadi asas kejayaan pada masa depan.
“Kita perlu membina jenama yang kukuh, mengekalkan standard Malaysian Hospitality yang sudah terkenal di peringkat antarabangsa dan yang paling penting membina kepercayaan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata harga bukan lagi satu-satunya faktor yang menentukan pilihan pengguna kerana pelanggan hari ini lebih mementingkan reputasi syarikat, pengalaman perkhidmatan dan tahap keyakinan terhadap pengendali.
Beliau optimis bahawa Malaysia mempunyai semua kelebihan untuk muncul sebagai hab umrah dan pelancongan Islam serantau sekiranya semua pemain industri bekerjasama secara menyeluruh.
“Matlamat kita mudah. Orang Islam akan pergi ke Mekah dan Madinah. Selepas itu kita mahu Malaysia menjadi destinasi pilihan mereka. Kita mempunyai ekosistem pelancongan Islam yang lengkap, hospitaliti bertaraf dunia serta pengiktirafan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terbaik dunia selama 11 tahun berturut-turut. Itu merupakan kekuatan yang perlu dimanfaatkan,” katanya.
UHIT 2026 membuktikan bahawa masa depan industri umrah Malaysia tidak lagi hanya bergantung kepada jumlah pakej yang berjaya dijual atau bilangan jemaah yang diterbangkan setiap musim. Sebaliknya, kekuatan sebenar industri kini terletak pada keupayaannya membina keyakinan, memperkukuh tadbir urus dan melahirkan pemain industri yang benar-benar profesional serta berintegriti.
Dalam landskap pelancongan Islam yang semakin kompetitif, kepercayaan kini menjadi mata wang paling bernilai. Jika Malaysia berjaya mengekalkan reputasi itu, hasrat untuk muncul sebagai hab umrah dan pelancongan Islam bertaraf dunia bukan lagi sekadar cita-cita, tetapi satu sasaran yang realistik untuk dicapai.



