Oleh Zihan Zari
JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) giat memperkukuh persediaan ke arah pelaksanaan Program Ijazah Sarjana Muda dijangka akan bermula pada sesi akademik 2027/2028.
Pembangunan program baharu ini melibatkan empat bidang strategik iaitu Teknologi Pengurusan Fasiliti, Teknologi Mekanikal (Sistem Rel), Teknologi Mekanikal (Pembuatan Termaju), dan Teknologi Kejuruteraan Elektronik.
POLIMAS Sebagai Politeknik Premier
Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman berkata selaku Politeknik Premier, POLIMAS kini telah bersedia ke arah pelaksanaan program-program tersebut melalui pelaksanaan Program Needs Analysis (PNA) serta sesi libat urus bersama pihak industri.
Menurut beliau, sesi Focus Group Discussion (FGD) yang diadakan bertujuan memperkukuh dapatan PNA agar pembangunan kurikulum yang dirancang benar-benar selari dengan kehendak industri, perkembangan teknologi semasa serta keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Pembangunan program ini turut memberi penekanan kepada penghasilan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten, relevan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pemerkasaan pendidikan TVET negara,”katanya.
Perbincangan Bersama Industri
Bagi memperkukuh pembangunan program tersebut, Bengkel Kerja Penyediaan Kajian Penawaran Program Baharu melalui sesi Focus Group Discussion (FGD) telah diadakan selama dua hari di The Jerai Hotel Alor Setar.
Ia melibatkan hampir 50 orang penggubal kurikulum bersama barisan panel industri mewakili kepakaran strategik bagi setiap bidang program yang dirancang.
Perbincangan yang diadakan memberi fokus kepada pembangunan kurikulum yang responsif, kompetensi graduan, keperluan teknologi semasa, pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning – WBL), pensijilan profesional serta pengukuhan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
Kurikulum Dibangunkan Secara Dinamik
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti (ISM FM) POLIMAS, Ts. Dr. Sofizain Adam berkata, struktur kurikulum yang sedang dibangunkan dirangka secara dinamik dengan penglibatan aktif pihak industri bagi memastikan kandungan pengajian sentiasa relevan dan responsif terhadap perkembangan teknologi semasa.
Dr. Sofizain yang juga Penggubal Kurikulum menjelaskan antara aspek utama yang diberikan perhatian termasuklah elemen automasi, pendigitalan, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), pelaksanaan WBL serta pembangunan kemahiran insaniah yang seimbang dalam kalangan pelajar.
Pengukuhan Kerjasama Industri
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), A. Azman Arshad menekankan kepentingan penglibatan aktif pihak industri dalam pembangunan program-program baharu di politeknik.
Katanya, sesi FGD yang dilaksanakan menjadi platform penting bagi mendapatkan pandangan, keperluan serta input semasa industri agar pembangunan kurikulum yang dirancang benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dan perkembangan teknologi semasa.
“Kerjasama strategik antara politeknik dan industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan program-program yang dibangunkan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi serta mampu melahirkan graduan TVET yang kompeten, profesional dan memenuhi keperluan sektor industri negara, ”tegasnya. -SUARA.TV



