JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi tampil menjawab kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang sebelum ini mengingatkan rakyat Johor supaya memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong dan mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai respons langsung terhadap ucapan Perdana Menteri, Onn Hafiz menegaskan bahawa pelantikan Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri merupakan punca beliau dilabel sebagai sombong.
“Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh YAB PM. Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang ‘sombong’?” soalnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, malah sentiasa terbuka menerima pandangan serta bantuan demi kepentingan rakyat.
“Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara,” katanya.
Onn Hafiz turut menyenaraikan beberapa bentuk kerjasama dan bantuan yang diberikan kerajaan negeri terhadap agensi di bawah bidang kuasa Persekutuan sebagai bukti hubungan baik antara kedua-dua pihak.
Antaranya termasuk bantuan tahunan kepada bilik guru dan sekolah walaupun pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan, selain bantuan kepada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem tentera yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertahanan.
Beliau juga berkata kerajaan negeri membantu hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam meskipun sektor kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.
Menurutnya lagi, apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, malah turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.
“Yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Onn Hafiz menegaskan bahawa beliau tidak berniat mengungkit jasa kerajaan negeri, sebaliknya mahu mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan bahawa Johor tidak memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan.
“Dengan rendah hati saya ingin bertanya, dalam perkara apakah Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” katanya.
Kenyataan itu dilihat menandakan ketegangan politik yang semakin terbuka antara kepimpinan Johor dan pimpinan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.



