KUALA LUMPUR — Kerajaan hari ini melancarkan Tribunal Bagi Antibuli sebagai mekanisme khusus untuk menangani, mengadili dan memutuskan kes-kes berkaitan salah laku buli secara lebih komprehensif, pantas dan berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tribunal berkenaan diwujudkan di bawah Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 [Akta 876] sebagai sebuah agensi khusus bagi menangani pelbagai bentuk buli termasuk buli lisan, fizikal, sosial dan siber.
“Tribunal ini diwujudkan menurut Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 yang bertindak sebagai sebuah agensi khusus untuk menangani, mengadili dan memutuskan kes-kes berkaitan salah laku buli secara komprehensif, pantas dan berkesan,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis Pelancaran tribunal yang diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), disini hari ini.
Beliau berkata, penubuhan tribunal itu menandakan satu mercu tanda penting dalam komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk membanteras gejala buli yang semakin meruncing dan mengancam kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Pelancaran tribunal ini menandakan satu mercu tanda penting dalam komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk membanteras gejala buli sama ada buli lisan, fizikal, sosial mahupun siber,” katanya.
Azalina berkata, pengoperasian tribunal tersebut berpaksikan pendekatan perundangan restoratif yang memberi penekanan kepada perlindungan mangsa selain menawarkan proses yang lebih pantas dan kos efektif berbanding prosiding mahkamah konvensional.
Bagi menyokong pelaksanaannya, Peraturan-Peraturan Antibuli (Tribunal Bagi Antibuli) 2026 turut dikuatkuasakan mulai hari ini bagi memperincikan prosedur dan tatacara pengendalian kes serta prosiding tribunal.
“Pengoperasian tribunal ini berpaksikan pendekatan perundangan restoratif yang pantas, kos efektif dan berorientasikan perlindungan mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seramai 56 anggota tribunal yang terdiri daripada pakar perundangan dan pakar dalam bidang kanak-kanak telah dilantik untuk mengendalikan prosiding dan membuat penghakiman secara bebas serta profesional.
Beliau berkata, tribunal itu turut mengguna pakai portal awam bagi membolehkan orang ramai mendaftarkan aduan berkaitan kes buli dengan lebih mudah dan cepat.
“Tribunal Bagi Antibuli ini akan mengguna pakai portal awam untuk membolehkan aduan didaftarkan oleh orang ramai,” katanya.
Menurut Azalina, tribunal itu juga akan bekerjasama rapat dengan Akademi Perundangan Negara (APN) dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) bagi melaksanakan program advokasi berterusan kepada semua pemegang taruh.
Katanya, pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat yang diterapkan dalam pelaksanaan Akta Antibuli 2026 akan memastikan usaha membanteras buli dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh.
“Pendekatan seluruh Kerajaan dan masyarakat yang diterapkan menjadikan pelaksanaan akta ini bersifat inklusif dan menyeluruh demi melahirkan generasi tanpa buli,” katanya.


