KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan bahawa idea untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN) adalah idea Tan Sri Muhyiddin Yassin sesuai dengan keberanian beliau meneroka gabungan parti politik baharu dan sifat inklusiviti beliau.
Bahkan katanya, Perlembagaan PN ditulis oleh Bersatu, logonya dicipta oleh Bersatu malah urusan pendaftarannya dilakukan oleh Bersatu.
Tun Faisal memberitahu, peruntukan dan dana untuk pentadbiran dan pengurusan PN sejak penubuhannya sehingga PRU15 adalah daripada Bersatu.
“Jika sesebuah parti telah memutuskan hubungan dengan Bersatu, enggan mematuhi keputusan yang telah dipersetujui bersama dan tidak lagi komited kepada identiti serta hala tuju PN, maka adalah wajar rakyat bertanya sama ada parti tersebut masih benar-benar mahu memperkukuhkan PN atau sedang bergerak ke arah yang berbeza.
“Dalam keadaan sedemikian, bukankah lebih jujur dan lebih bertanggungjawab untuk bertanding menggunakan identiti sendiri daripada terus menggunakan jenama PN sambil pada masa yang sama melemahkan asas-asas yang membentuk gabungan itu?
“Bukankah lebih baik selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu, Pas dan Wawasan Negara bertanding menggunakan logo mereka sendiri dari dilihat seolah-olah Pas mahu mensabotaj Bersatu, parti-parti dalam IPR dan jenama PN dalam PRN Johor dan Melaka? katanya.
Jelas beliau, PN bukan sekadar logo. PN adalah satu jenama politik yang dibina atas nilai integriti, kesederhanaan, berprinsip, demokratik, prihatin rakyat. Warna dan semangatnya adalah ‘biru’, bukan ‘hijau’, iaitu yang melambangkan sifat inklusif, sederhana dan merentasi batas kaum serta wilayah. Pentadbiran, dasar dan pendekatan PN juga adalah ‘biru’ dan bukan ‘hijau’.
Oleh sebab itu Tun Faisal berkata, apabila terdapat mana-mana pihak yang bertindak secara tidak berintegriti, tidak demokratik atau bertentangan dengan Perlembagaan dan keputusan rasmi PN, kesannya bukan sahaja terhadap hubungan antara parti-parti komponen, tetapi turut mencemarkan dan merosakkan jenama PN yang telah dibina.
“Pas telah membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu. Keputusan tersebut dibuat oleh Pas, bukan oleh Bersatu. Pada masa yang sama, Pas juga berulang kali menghantar isyarat yang bercanggah dengan semangat PN. Pas terbabit dalam Langkah Bangkok dan berulang kali menyatakan hasrat menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama Umno. Pas Johor juga menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan logo Pas dalam PRN Johor.
“Pada waktu yang sama Pas bertindak bertentangan Perlembagaan PN dan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi PN. Pas bukan sahaja tidak komited melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat MT PN malah Presiden Pas bertindak mempertikaikan dan mem’veto’ keputusan-keputusan PN.
“Antara keputusan penting MT PN adalah Pindaan Perlembagaan PN dan pelantikan Ketua Pembangkang dalam kalangan Ahli Parlimen Pas. Pindaan Perlembagaan PN perlu dilaksanakan kerana berdasarkan keputusan permuafakatan Presiden-Presiden parti komponen PN, tugas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN adalah hanya untuk menguruskan pentadbiran dan operasi harian PN.
“Kuasa untuk memutuskan perkara-perkara dasar adalah kuasa Majlis Presiden PN. Namun Pas telah berdolak dalik untuk melaksanakan keputusan ini yang sepatutnya telah dilaksanakan dua bulan selepas Mesyuarat MT PN 22 Februari 2026. Dimaklumkan, sehingga Mesyuarat MT PN 16 Mei 2026, Pas masih tidak melaksanakannya dan meminta penangguhan selama sebulan lagi, sepatutnya pada 16 Jun 2026.
“Begitu juga dalam hal berkaitan Pelantikan Ketua Pembangkang. Telah ada keputusan semasa Mesyuarat MT PN 22 Februari 2026 bahawa jawatan Ketua Pembangkang telah dikosongkan dan Pas perlu menamakan Ketua Pembangkang yang baru dari kalangan Ahli Parlimen Pas. Ketua Whip PN di Dewan Rakyat juga perlu memaklumkan status 6 orang Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat.
“Status Ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat telah diserahkan oleh Bersatu kepada Ketua Whip PN pada tarikh 23 Februari 2026, tetapi ia tidak diserahkan kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat. Manakala keputusan menamakan Ketua Pembangkang yang baru dari Pas hanya dilakukan pada Mesyuarat MT PN 16 Mei 2026. Bagaimanapun pada 13 Jun 2026, Presiden Pas telah mengumumkan perkara yang bertentangan dan menyanggah keputusan Mesyuarat MT PN 16 Mei 2026,” katanya.
Menurut Tun Faisal lagi, tindakan Pas membuat keputusan yang bertentangan Perlembagaan dan keputusan-keputusan MT PN sedikit sebanyak mencemarkan dan merosakkan jenama PN.
“Tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu pada saat PN perlu berhadapan dengan PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan pula memberikan gambaran Pas tidak mengutamakan kepentingan PN serta tidak peduli untuk bertindak bertentangan kepentingan PN dan menjejaskan persiapan PN bagi menghadapi kedua-dua PRN. Kegagalan Pas menyelesaikan isu-isu dalaman gabungan telah menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan anggota, penyokong dan jentera pilihan raya.
“Pengakuan Pesuruhjaya Pas Johor bahawa tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu menjejaskan persiapan PRN Johor dan hasrat Pas Johor untuk menggunakan logo sendiri adalah bukti tindakan tidak bertanggung jawab Pas menjejaskan persiapan PRN PN.
“Pada waktu yang sama, kegagalan Pengerusi PN untuk memanggil Mesyuarat MT PN untuk membincangkan persiapan pilihan raya, rundingan kerusi antara parti anggota PN dan pembentukan jawatankuasa berkaitan ‘electoral pact’ dengan parti-parti bukan anggota PN adalah sangat tidak bertanggung jawab dan sudah pasti menjejaskan persiapan pilihan raya PN,” katanya.
Tun Faisal menegaskan, persoalan PN bukan sekadar mengenai logo, tetapi kepercayaan terhadap jenama dan persiapan menghadapi PRN Johor dan Melaka.
“Bagaimana hendak membuat persiapan jika masih banyak perkara yang belum diputuskan, termasuk persoalan untuk mencetak bendera dan bahan-bahan asas untuk memasuki pilihanraya.
“Tindakan-tindakan Pas bukan sahaja merosakkan kekuatan PN, mencemarkan jenama PN, menghakis sokongan rakyat terhadap PN dan menjejaskan persiapan pilihan raya PN,” selar beliau.



