Cabutan Undi Unit Ganti buka lembaran baru projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR – Suasana di dewan majlis pada hari ini mungkin kelihatan seperti sebuah acara rasmi biasa yang dipenuhi prosedur pentadbiran, namun bagi ratusan pemilik hartanah Kampung Sungai Baru yang hadir, ia merupakan detik yang sarat dengan emosi, harapan dan penantian yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Satu demi satu nama dipanggil bagi menentukan unit ganti yang bakal menjadi kediaman baharu mereka kelak. Ada yang tersenyum lega, ada yang berbual sesama sendiri tentang lokasi unit pilihan yang diperoleh, manakala tidak kurang juga yang dilihat mengimbau kembali perjalanan panjang yang terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke tahap ini.

Majlis Cabutan Undi Unit Ganti bagi Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru yang dilaksanakan oleh KL City Gateway Sdn Bhd bukan sekadar proses menentukan nombor unit. Lebih daripada itu, ia menjadi petunjuk paling nyata bahawa projek pembangunan semula yang pernah mencetuskan pelbagai reaksi, perdebatan dan tanda tanya kini benar-benar bergerak ke hadapan.

Bagi pemilik yang telah bersetuju menyertai projek tersebut, majlis ini merupakan jawapan kepada segala penantian mereka. Selepas bertahun-tahun meninggalkan kediaman asal, tinggal di rumah transit dan berdepan pelbagai persepsi masyarakat terhadap masa depan projek itu, mereka akhirnya dapat melihat sendiri bahawa setiap peringkat pembangunan sedang dilaksanakan mengikut perancangan.

KL City Gateway Sdn Bhd dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa proses penentuan unit ganti dilaksanakan secara telus, adil dan penuh integriti berpandukan sepenuhnya kepada Perjanjian Usahasama yang telah dipersetujui bersama antara pemaju dan pemilik hartanah.

Perjanjian tersebut menjadi dokumen asas yang mengikat semua pihak dalam pelaksanaan projek pembangunan semula berkenaan, termasuklah kaedah dan mekanisme bagi menentukan unit gantian yang akan diterima oleh pemilik terlibat.

Atas dasar itu, keputusan cabutan undi yang dibuat pada hari ini dianggap muktamad seperti yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh pelbagai pihak berkepentingan yang hadir sebagai pemerhati, termasuk wakil Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), peguam persatuan pemilik, peguam pemaju serta wakil Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru. Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi protokol, sebaliknya bertujuan memastikan setiap proses berlangsung secara terbuka, tersusun dan boleh dipertanggungjawabkan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Puan Sanita, menyifatkan majlis tersebut sebagai satu lagi perkembangan penting dalam usaha merealisasikan impian penduduk untuk kembali ke kawasan yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup mereka.

Menurut beliau, cabutan undi itu membuktikan bahawa projek pembangunan semula tersebut terus bergerak ke hadapan hasil kesepakatan serta komitmen semua pihak yang terlibat.

“Majlis hari ini bukan sekadar proses penentuan unit, tetapi merupakan satu lagi langkah penting yang membuktikan bahawa Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru terus bergerak ke hadapan. Ia mencerminkan kemajuan yang nyata hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dalam merealisasikan pembangunan semula yang telah lama dinantikan oleh para pemilik,” katanya.

Sentimen yang sama turut dikongsi Pengarah KL City Gateway Sdn Bhd, Encik Abdul Hadi Ahmad, yang menyifatkan sokongan dan kesabaran para pemilik sebagai kekuatan utama yang membolehkan projek tersebut diteruskan sehingga ke tahap ini.

Beliau mengakui bahawa perjalanan projek bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu dihadapi, termasuk persepsi negatif dan tohmahan bahawa projek tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

“Hari ini adalah hari yang dinantikan oleh pemilik-pemilik yang terlibat apabila proses cabutan undi unit ganti dilaksanakan. Kami amat menghargai kesabaran dan sokongan padu yang diberikan oleh mereka.

“Majlis hari ini membuktikan bahawa projek ini benar-benar bergerak ke hadapan. Ia menolak tohmahan bahawa projek ini tidak berjalan atau pemaju tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, pemilik yang terlibat telah menunggu dalam tempoh yang panjang dengan penuh keyakinan bahawa pembangunan semula itu akhirnya akan menjadi realiti.

“Kami berharap selepas ini proses pembangunan dapat dipercepatkan supaya mereka dapat kembali ke Kampung Sungai Baru secepat mungkin,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja awal di tapak projek sebenarnya telah pun dimulakan. Namun terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembinaan utama dapat dijalankan sepenuhnya.

Antaranya ialah proses pengalihan sebuah pencawang TNB yang berada di tapak projek serta paip air mentah bersaiz besar yang melalui kawasan pembangunan.

Kedua-dua proses tersebut memerlukan kelulusan dan permit daripada pihak berkaitan.

Sekiranya semuanya berjalan lancar, kerja-kerja cerucuk dijangka dapat dimulakan sekitar Ogos atau September tahun ini.

Abdul Hadi berkata, keseluruhan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru mempunyai nilai pembangunan kasar sekitar RM2 bilion dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun melibatkan empat plot pembangunan.

Buat masa ini, tumpuan diberikan kepada Plot 1 yang dikenali sebagai Kelarai, iaitu pembangunan rumah ganti untuk pemilik asal.

Dalam masa sama, satu lagi komponen pembangunan dikenali sebagai Sutera akan dibuka untuk jualan bagi membantu menjana aliran kewangan projek.

Kira-kira 250 unit dijangka ditawarkan kepada pasaran terbuka, namun keutamaan akan diberikan kepada generasi kedua pemilik asal dengan tawaran khas sebelum dibuka kepada pembeli awam.

Harga jualan bermula sekitar RM850 sekaki persegi dengan nilai keseluruhan unit mencecah lebih RM800,000 bergantung kepada saiz dan lokasi.

Lebih menarik, projek tersebut turut menawarkan pelbagai kemudahan moden bertaraf tinggi seperti sauna, bilik wap, jacuzzi serta fasiliti gaya hidup yang lazimnya hanya terdapat dalam pembangunan premium.

Namun Abdul Hadi berkata, aspek paling penting bukan sekadar menyediakan kemudahan mewah, sebaliknya memastikan penduduk asal mampu menikmati kehidupan yang selesa tanpa dibebani kos penyelenggaraan yang tinggi.

Katanya, pihak pemaju menyedari bahawa antara cabaran utama dalam pembangunan berstrata ialah bayaran penyelenggaraan bulanan yang boleh mencecah ratusan ringgit.

Bagi mengatasi isu tersebut, skim khas diperkenalkan kepada pemilik asal.

Untuk tahun pertama, mereka tidak perlu membayar sebarang yuran penyelenggaraan. Bagi sembilan tahun berikutnya pula, mereka hanya perlu menanggung sekitar 30 peratus daripada kos sebenar, manakala baki 70 peratus ditanggung oleh pihak pemaju.

Melalui skim itu, pemilik asal hanya perlu membayar kira-kira RM120 sebulan berbanding kadar sebenar yang boleh mencecah RM500 hingga RM600 sebulan.

Menurut Abdul Hadi, langkah tersebut diambil sebagai menghargai kesabaran mereka yang telah menunggu bertahun-tahun untuk melihat projek itu direalisasikan.

Seramai 237 pemilik yang telah menandatangani Perjanjian Usahasama terlibat dalam proses cabutan undi pada hari ini.

Sepanjang tempoh menunggu rumah baharu siap, mereka ditempatkan di rumah transit dan menerima bantuan sewa bulanan antara RM1,100 hingga RM2,500 yang dibayar oleh pihak pemaju.

Bayaran tersebut akan diteruskan sehingga rumah ganti diserahkan kepada mereka.

Sekiranya berlaku kelewatan dalam penyerahan unit, pemaju juga terikat dengan klausa penalti seperti yang termaktub dalam Perjanjian Usahasama.

Dari sudut pampasan pula, pemilik rumah pangsa menerima unit gantian berdasarkan keluasan unit asal masing-masing.

Bagi pemilik rumah teres, penilaian dibuat berdasarkan keluasan tanah, nilai rumah serta pengubahsuaian yang telah dilakukan sebelum jumlah pampasan ditukarkan kepada unit gantian atau bayaran tunai mengikut kelayakan.

Ada pemilik yang menerima tiga unit gantian, manakala ada yang layak memperoleh sehingga tujuh unit bergantung kepada nilai keseluruhan aset mereka.

Bagi pemilik yang tidak bersetuju menyertai pembangunan semula pula, pampasan telah dibayar berdasarkan penilaian yang ditetapkan dengan jumlah keseluruhan yang telah dikeluarkan setakat ini dianggarkan sekitar RM79 juta.

Ketika majlis berakhir, apa yang jelas terpancar pada wajah ramai pemilik bukan sekadar kegembiraan kerana memperoleh nombor unit baharu.

Lebih daripada itu, ia adalah rasa lega bahawa penantian panjang mereka akhirnya memperlihatkan sinar yang semakin jelas.

Bagi mereka, Kampung Sungai Baru bukan sekadar deretan bangunan lama di tengah-tengah kota raya. Ia adalah tempat membesarkan anak-anak, membina kehidupan dan menyimpan kenangan turun-temurun.

Kini, mereka berharap pembangunan semula yang sedang dilaksanakan bukan sahaja mengembalikan mereka ke tanah asal dengan kediaman yang lebih moden dan selesa, malah menjadi pemangkin kepada pembaharuan lebih besar di Kampung Bharu.

Selepas bertahun-tahun menunggu dengan penuh sabar, majlis cabutan undi unit ganti hari ini mungkin akan dikenang sebagai titik perubahan yang membuktikan bahawa impian untuk melihat Kampung Sungai Baru dibangunkan semula bukan lagi sekadar janji, tetapi sebuah realiti yang semakin hampir menjadi kenyataan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat