MIFFest Ke-9 tampil 65 filem dari 35 negara, Lee Chang-dong terima anugerah pencapaian sepanjang hayat

KUALA LUMPUR – Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-9 bakal menghimpunkan 65 filem dari 35 negara dan wilayah dalam 27 bahasa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform sinema antarabangsa paling berprestij di rantau ini.

Festival yang akan berlangsung dari 18 hingga 25 Julai 2026 itu turut mengumumkan pengarah tersohor Korea Selatan, Lee Chang-dong sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada dunia perfileman antarabangsa.

Presiden MIFFest, Joanne Goh berkata, festival tahun ini bertemakan Resonance dan akan menampilkan pelbagai karya sinematik dari seluruh dunia yang merentasi budaya, bahasa dan sempadan geografi.

“MIFFest bukan sekadar platform tayangan filem, tetapi sebuah ruang pertukaran budaya yang menghubungkan pembikin filem, penggiat industri dan penonton melalui bahasa universal penceritaan,” katanya ketika sidang media pelancaran program rasmi MIFFest 2026 di Immersify Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut beliau, daripada keseluruhan filem yang ditayangkan, festival kali ini merangkumi dua tayangan perdana dunia, satu tayangan perdana antarabangsa, tiga tayangan perdana Asia, 12 tayangan perdana Asia Tenggara dan 28 tayangan perdana Malaysia.

MIFFest 2026 akan membuka tirai dengan tayangan perdana dunia filem tempatan BAGA: Tomorrow Belongs To No One arahan Ariff Zulkarnain yang mengisahkan kehidupan pasangan muda di sebuah perkampungan nelayan konservatif di Kuala Terengganu.

Festival itu pula akan melabuhkan tirainya dengan Yellow Letters, karya terbaharu pengarah terkenal Turki, İlker Çatak yang sebelum ini memenangi Anugerah Beruang Emas di Festival Filem Antarabangsa Berlin.

Selain penghormatan kepada Lee Chang-dong, MIFFest turut menganugerahkan Excellent Achievement in Film Award kepada ikon filem aksi China, Wu Jing atas pencapaian dan pengaruh besarnya dalam genre filem aksi moden. Bersempena penghormatan itu, filem Blades of the Guardians: Wind Rises in the Desert akan ditayangkan sepanjang festival.

Sebagai sebahagian daripada penghormatan kepada Lee Chang-dong, dua karya agung beliau iaitu Peppermint Candy dan Oasis akan ditayangkan kepada penonton Malaysia.

Tahun ini juga menyaksikan beberapa program khas antarabangsa diperkenalkan atau diteruskan termasuk Hong Kong Cinema in Flux, New Rhythms of Indian Cinema, ASEAN On Screen, Russian Film Week serta segmen baharu Korean Cinema: A Culture in Motion.

Bagi pertandingan utama Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2026, sebanyak 10 filem dipilih untuk bersaing termasuk wakil Malaysia, The Waves Will Carry Us arahan Lau Kek-Huat. Filem lain yang bertanding termasuk Ah Girl (Singapura),
Girl (Taiwan), Lucky Lu (Amerika Syarikat/Kanada), Riverstone (Sri Lanka) dan Silent Rebellion (Switzerland/Belgium/Perancis).

Panel juri pertandingan antarabangsa pula akan diketuai pembikin filem terkenal India, Anurag Kashyap selaku Presiden Juri, bersama pengarah Taiwan Midi Z, pelakon Thailand Ananda Everingham, pereka produksi Hong Kong Man Lim-Chung dan pelakon Malaysia Sharifah Amani.

Orang ramai boleh mendapatkan MIFFest Movie Pass pada harga RM59, manakala pelajar ditawarkan Pas Akreditasi Pelajar khas berharga RM29 yang membolehkan mereka menghadiri sehingga 10 tayangan filem sepanjang festival berlangsung. Pemegang kad Hong Leong Bank pula menikmati kadar promosi RM49. Pendaftaran dibuka mulai 9 Jun hingga 25 Julai 2026.

Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-9 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 18 hingga 25 Julai depan dengan pelbagai tayangan filem, forum, sesi masterclass dan perbincangan industri yang menghimpunkan penggiat perfileman dari seluruh dunia. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat