BN Negeri Sembilan bertindak seolah “pencuri menjerit pencuri” – DAPSY

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kini cuba berlakon sebagai mangsa kononnya terpaksa bertanding solo kerana pihak lain terlebih dahulu membuat keputusan adalah seperti pencuri menjerit pencuri dan ini adalah sesuatu yang amat melucukan dan tidak masuk akal.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) merangkap Ketua DAPSY Woo Kah Leong membidas sekeras-kerasnya kenyataan beberapa pemimpin BN baru-baru ini yang mendakwa kononnya mereka “tiada pilihan dan terpaksa bergerak solo” ekoran pengisytiharan perang habis-habisan oleh PH Negeri Sembilan.

Beliau menyifatkan hujah tersebut sebagai memutar-belitkan fakta dan satu pembohongan yang amat memalukan.

Kah Leong menegaskan bahawa punca utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terpaksa dibubarkan adalah disebabkan tindakan 14 Adun BN yang berkomplot secara rahsia dengan Perikatan Nasional (PN) dalam cubaan merampas kuasa melalui “pintu belakang”.

Adun Pasir Bedamar itu mendedahkan, berdasarkan sepucuk surat sulit Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kepimpinan tertinggi Pas yang bocor baru-baru ini, pergolakan politik di Negeri Sembilan sebelum ini bukanlah satu kebetulan. Sebaliknya, ia merupakan satu “konspirasi pintu belakang” yang telah dirancang dengan teliti melalui beberapa siri rundingan rahsia antara wakil Umno, Bersatu, dan Pas.

“Bukti sudah terang lagi bersuluh tindakan segelintir pemimpin BN yang kini cuba berlakon sebagai mangsa kononnya terpaksa bertanding sendirian kerana pihak lain terlebih dahulu membuat keputusan adalah seperti pencuri menjerit pencuri,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Kah Leong menyelar bahawa dalam kalangan Adun yang mengkhianati mandat rakyat itu, terdapat juga seorang Menteri Kabinet yang memegang jawatan tinggi sebagai Timbalan Presiden dalam Umno.

“Disebabkan tindakan tikam belakang oleh kumpulan yang degil ini, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang pada asalnya mendapat mandat sah daripada rakyat telah bertukar menjadi kerajaan minoriti dalam sekelip mata. Hal ini seterusnya mencetuskan rantaian gerakan menjatuhkan kerajaan, sehingga memaksa DUN terpaksa dibubarkan.

“Memandangkan kami telah ditikam dari belakang oleh kumpulan pengkhianat yang tidak mengenang budi ini, maka strategi paling rasional bagi PH adalah menamatkan serta-merta semua kerjasama dengan mereka tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Sementara itu, Kah Leong menegaskan, sekiranya 14 Adun BN berkenaan tidak melakukan pengkhianatan dengan berpakatan secara sulit bersama PN, DUN Negeri Sembilan tidak perlu dibubarkan sama sekali. Malah, isu politik yang sengaja diada-adakan seperti “siapa yang memaksa siapa bertanding solo” juga tidak akan timbul hari ini.

“Dalang yang menyebabkan pembubaran DUN Negeri Sembilan sepatutnya berasa malu dengan kebodohan sendiri.

“Bukannya selepas konspirasi mereka terbongkar dan mencetuskan ketidakstabilan politik, mereka pula yang seperti pencuri menjerit pencuri dengan menuding jari kepada PH,” ujarnya.

Kah Leong menegaskan, tidak pernah ada sesiapa yang memaksa BN Negeri Sembilan untuk menggerakkan langkah pintu belakang. Segala kekacauan yang berlaku hari ini adalah akibat sikap mereka sendiri yang rabun politik dan hanya mengejar keuntungan jangka pendek.

“BN mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas peluang politik (oportunisme) mereka sendiri, dan bukannya menuding jari selepas menerima padah.

“Ketidakstabilan politik amat bercanggah dengan kepentingan rakyat. Hanya dengan pembubaran DUN secara tegas untuk memulangkan mandat kepada rakyat—serta menggunakan undi di tangan untuk menghukum dalang pintu belakang ini—kestabilan politik dapat dipulihkan semula,” gesa beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat