KUALA LUMPUR – DAP tidak menguasai tetapi turut mendengar pandangan rakan-rakan dalam kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkongsi hubungan akrabnya dengan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang merupakan satu-satunya Ahli Parlimen Umno di Kuala Lumpur.
“Di Kuala Lumpur, Umno mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Titiwangsa manakala Pakatan Harapan (PH) memiliki 10 kerusi Parlimen. Namun begitu, semangat mentadbir bersama di bawah Kerajaan Madani sentiasa menjadi keutamaan.
“Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa dan rakan Kabinet saya. Walaupun beliau satu-satunya Ahli Parlimen Umno di Kuala Lumpur, kami hanya mempunyai satu kumpulan WhatsApp bersama semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain. Tiada pengasingan.
“Sepanjang mengurus hal ehwal Wilayah Persekutuan, saya banyak mendapatkan pandangan beliau dalam pelbagai perkara termasuk pengendalian bazar Ramadan, isu penjaja, pembangunan Kampong Bharu dan pelantikan ahli-ahli lembaga di Wilayah Persekutuan.
“Daripada pengalaman beliau, saya belajar bahawa mendengar pandangan yang berbeza sering menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat.
“Bagi saya, itulah kekuatan sebuah kerajaan yang dibina atas kerjasama. Itulah setiakawan. Itulah hormat,” jelas Hannah.
Ahli Parlimen Segambut itu memberitahu, beliau tidak pernah percaya bahawa kekuatan seseorang pemimpin diukur melalui siapa yang dia tolak.
“Kekuatan sebenar seorang pemimpin ialah keupayaannya bekerja dengan mereka yang berbeza demi kepentingan rakyat.
“Kerana pada akhirnya, rakyat tidak menilai sejauh mana kita berbeza. Rakyat menilai sama ada kita mampu bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah mereka dan semuanya bermula dengan kesediaan untuk duduk semeja,” ujarnya.



