Amirudin, Saifuddin dilantik pengarah pilihan raya bersama PKR

KUALA LUMPUR – PKR melantik Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama di samping Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh juga memaklumkan, Datuk Azman Abidin turut dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (War Room), dibantu oleh Datuk Ruji Ubi bagi memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan dan pemantauan gerak kerja pilihan raya.

“Biro Politik PKR berpendapat, pelantikan ini merupakan sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya PKR terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.

“Penyusunan ini juga merupakan kesinambungan kepada asas gerak kerja yang telah dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem dan teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS,” kata Fuziah dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan, Nurul Izzah Anwar akan terus memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun.

“Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan PKR terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat.

“PKR sedar bahawa kekuatan parti tidak hanya terletak pada pimpinan di peringkat pusat, tetapi pada ribuan anggota di lapangan yang terus bekerja, mendengar, menyantuni dan membawa suara rakyat setiap hari.

“Dalam semangat yang sama, PKR merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang telah menyertai parti, dengan jumlah keanggotaan baharu dari April ke Mei mencecah seramai 5,936 orang,” ujarnya.

Menurut beliau, PKR kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad untuk merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat