KUALA LUMPUR – Sebarang kemelut antara Pas dan Bersatu hanya akan menguntungkan pihak lawan yang sentiasa menunggu ruang untuk memecah-belahkan kekuatan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris menasihatkan, segala ketidakpuasan hati perlu diselesaikan dengan hikmah dan jiwa besar.
“Kembali ke meja rundingan adalah langkah terbaik demi mencari penyelesaian yang bersifat “win-win”, berasaskan semangat ukhwah, saling menghormati dan matlamat perjuangan yang sama.
“Setiap hubungan pasti ada kekuatan dan kelemahan. Kajiaan semula di perlukan dan yang baik diperkukuhkan, yang kurang diperbaiki. Jangan kerana perbezaan pandangan, musuh diberi peluang melihat keretakan dalam saf perjuangan.
“Saya yakin kebijaksanaan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menemukan titik damai demi memastikan PN terus kukuh, matang dan diyakini rakyat.
“Insya-Allah, di bawah penyelarasan kepimpinan Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang tenang dan strategik, PN akan terus menjadi blok pembangkang yang kuat, bersatu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Razali mengingatkan, matlamat perjuangan mesti jelas “Route to Putrajaya”. Bukan sekadar menjadi pembangkang, tetapi membina kekuatan sebagai satu pasukan besar yang bersedia memerintah Malaysia dengan lebih stabil, bersih dan berintegriti.
“Insya-Allah, dengan kesatuan saf, disiplin kepimpinan dan fokus kepada agenda rakyat, PN akan tampil lebih kuat menghadapi PRU akan datang.
“Musuh mahu melihat perpecahan, tetapi kekuatan sebenar PN ialah kesatuan, kematangan dan keikhlasan perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.



